Bau hapak dan sesak, Operasi Mega bongkar kedaifan asrama pekerja asing

Bau hapak dan sesak, Operasi Mega bongkar kedaifan asrama pekerja asing

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Keadaan bangunan yang kotor, bau hapak dan busuk menusuk hidung sebaik sahaja menjejakkan kaki masuk ke bangunan asrama pekerja warga di dalam kawasan sebuah kilang perabot di kawasan perindustrian Telok Gong di sini hari ini.

Penemuan itu ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor melakukan serbuan di kilang terbabit menerusi Operasi Mega petang tadi.

Difahamkan bangunan dua tingkat terbabit yang dipercayai dibina tanpa kebenaran dan menempatkan kira-kira 100 pekerja asing.

Tinjauan mendapati, terdapat 10 bilik yang mana setiap satu bilik dihuni kira-kira 10 pekerja warga asing dalam keadaan sesak dan tidak selesa.

Turut kelihatan, tandas dan ruang mandi di bangunan itu dibina secara terbuka selain keadaan persekitarannya yang busuk dan kotor.

Selain itu, tinjauan juga mendapati terdapat sebuah kedai runcit yang diusahakan warga asing dalam kawasan kilang berkenaan bagi membolehkan pekerja yang tinggal di asrama terbabit membeli keperluan harian.

Operasi serbuan yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu dianggotai oleh 50 pegawai dan anggota daripada JIM Selangor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika sidang media, Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohamad Khusairi Kamarudin mengingatkan agar majikan sentiasa peka terhadap status dan keberadaan pekerja asing yang diambil bekerja, mereka juga perlu memastikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) digunakan mengikut lokasi dan sektor yang diluluskan.

Sementara itu warga asing pula dinasihatkan supaya sentiasa membawa dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan bagi memudahkan proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top