hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan tegas terus dilaksanakan terhadap penjaja warga asing di sekitar ibu kota apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan 13 tindakan sita terhadap komuniti itu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, baru-baru ini.
DBKL dalam kenyataan berkata, tindakan itu dilakukan di sekitar Jalan Lebuh Pudu dan Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Petaling serta Jalan Sultan, di sini hasil pemantauan berkala di kawasan Petaling.
“Sebanyak 13 tindakan sita dilaksanakan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
“Semua barangan yang dikenakan tindakan sita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya di Facebook.
Kenyataan itu berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan daripada masa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenalpasti.
Menurutnya, orang awam juga boleh membantu menyalurkan sebarang aduan melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd