firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bersedia menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan menjadikan Vietnam mangsa dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun depan.
Keyakinan itu diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend yang mengakui satu kejutan bakal disajikan kepada penyokong setia bola sepak negara.
Malah katanya, beliau dan barisan kejurulatihan kebangsaan kendalian Peter Cklamovski berazam untuk menjadikan aksi berkenaan sebagai perlawanan yang akan dikenang sampai bila-bila.
“Kami teruja untuk menyambut kehadiran Vietnam ke Bukit Jalil pada 10 Jun bagi satu perlawanan yang dijangka penuh debaran dan emosi.
“Ini bukan sekadar aksi kelayakan, ini adalah detik untuk rakyat Malaysia bersatu di belakang Harimau Malaya dan menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita.
“Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tak sabar untuk melihat para penyokong memenuhi Bukit Jalil dan menjadikannya malam yang akan dikenang selamanya. Bukit Jalil bakal jadi saksi. Jumpa anda di sana,” katanya.
Pada aksi pertama kumpulan 25 Mac lalu, skuad negara memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila mudah membenam Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menghuni tangga kedua kumpulan dengan berkongsi tiga mata bersama Vietnam namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan di mana skuad Naga Emas itu membelasah Laos 5-0.
Hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada 2027 nanti.
Justeru kemenangan ke atas Vietnam di SNBJ dilihat penting bagi membuka laluan lebih cerah ke saingan utama Asia itu sekali gus layak buat kali kedua berturut-turut selepas Piala Asia di Qatar, tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




