Kim Seri temui cinta baharu, lelaki Korea jadi pilihan

Kim Seri temui cinta baharu, lelaki Korea jadi pilihan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh, Kim Seri sah bergelar isteri kepada lelaki Korea Selatan dikenali Choi Amin.

Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina, 40, mengesahkan perkahwinannya itu di akaun Instagram (IG) menerusi perkongsian gambar bersama suami dipercayai selepas pernikahan mereka dengan kapsyen romantis.

Menerusi gambar itu, Kim Seri dilihat menggenggam erat tangan suami serta turut memegang jambangan bunga.

“Dua jiwa. Satu janji. Satu perjalanan. Semoga Allah SWT merahmati perkahwinan ini dan jadikan kami pasangan yang mengikut syariat-Nya,” tulisnya.

Dalam satu hantaran di IG Story, Kim Seri menzahirkan perasaan syukur walaupun melangsungkan pernikahan dengan serba ringkas.

Perkongsian Kim Seri itu mendapat reaksi positif pengikut dengan rata-rata mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaannya.

“Tahniah Kim Seri dan pasangan, moga kekal bahagia hingga ke Jannah,” tulis pengguna IG, Kamariza Kamar.

“Selamat pengantin baru Kim Seri dan encik suami, moga berbahagia sehingga hujung nafas terakhir. Amin,” tulis seorang lagi pengguna IG, Ainie Azuan.

Terdahulu, Kim Seri menafikan dakwaan berpisah dengan bekas suami kerana mahu mendirikan rumah tangga bersama lelaki Korea Selatan.

Kim Seri menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan lucu kerana mengenali lelaki Korea Selatan itu selepas beberapa bulan berpisah dengan bekas suami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top