GPN SPM 2024 Johor atasi GPN Nasional 5 tahun berturut-turut

GPN SPM 2024 Johor atasi GPN Nasional 5 tahun berturut-turut

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Johor merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) Negeri yang mengatasi GPN Nasional selama lima tahun berturut-turut.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad berkata, tahun ini, GPN Negeri merekodkan 4.36, manakala GPN Nasional adalah 4.49, ia sekali gus menunjukkan pencapaian keputusan SPM terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, dengan nilai GPN itu, seramai 41 orang calon SPM 2024 memperoleh pencapaian cemerlang semua mata pelajaran (semua A+) meningkat 0.09 peratus berbanding 20 orang pada SPM 2023.

“Tahun ini, seramai 1,513 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 1,247 calon pada SPM 2023.

“Sebanyak 94.50 peratus calon layak memperoleh siji SPM, ia meningkat 0.70 peratus berbanding SPM 2023,” katanya ketika Pengumuman Keputusan SPM 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini, hari ini.

Bagi SPM 2024 di Johor, seramai 43,716 calon berdaftar dan daripada jumlah itu, seramai 42,611 calon hadir menduduki peperiksaan terbabit, manakala 565 calon tidak hadir semua mata pelajaran.

Pada masa sama, Mohd Hanafi berkata, seramai 168 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) menduduki SPM 2024 dan 16 orang mendapat keputusan cemerlang masing-masing empat calon memperoleh 8A, empat orang (7A) dan lapan orang (6A).

Katanya, bagi prestasi sekolah pula, berlaku peningkatan dalam peratusan 100 peratus layak mendapat sijil bagi sekolah bandar dan luar bandar iaitu sebanyak 81 buah sekolah pada SPM 2024, berbanding 75 buah sekolah pada SPM 2023.

“Bagi Sekolah Menengah Harian, sebanyak 41 buah sekolah mencapai 100 peratus layak mendapat sijil, Sekolah Menengah Agama (20 buah), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (lima buah) dan Sekolah Felda (lapan buah),” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top