Tok Mat individu penting redakan kemelut Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

Tok Mat individu penting redakan kemelut Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam meredakan kemelut pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian secara rundingan bersama kepimpinan parti bagi meredakan situasi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, tuduhan mengaitkan Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau sebagai dalang terhadap krisis di Negeri Sembilan, adalah tidak adil.

“Tok Mat Hassan yang cuba mencari jalan untuk menyelesaikannya. Tidak adil jika ada tuduhan sedemikian terhadap beliau. Beliau sering berbincang dan mengadakan perundingan dengan saya untuk mencari penyelesaian kepada perkara itu.

“Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa ‘benang telah kusut’ dan kita mengetahui punca kekusutan itu. Jadi, kita harus menarik benang itu untuk menjadi lurus semula dengan perlahan-lahan dan dengan kaedah yang halus,” katanya dalam temu bual sempena Ulang Tahun ke-80 UMNO, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjawab dakwaan beberapa pihak menyatakan bahawa Mohamad merangkap Ahli Parlimen Rembau, merupakan dalang tercetusnya kemelut politik di Negeri Sembilan.

Mengenai pendirian UMNO dalam isu pentadbiran di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, keputusan Badan Perhubungan UMNO negeri bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan.

“Tidak timbul soal mahu menarik diri untuk menjadi pembangkang. Itu tidak pernah menjadi isu. Mungkin terdapat interpretasi atau persepsi bahawa mereka tidak bersetuju dari segi pelantikan Menteri Besar, tetapi soal itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, penentuan jawatan Menteri Besar bukan diputuskan oleh UMNO secara bersendirian, sebaliknya bergantung kepada konsensus parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, 14 ADUN BN menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Khamis memaklumkan kesemua ADUN berkenaan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan negeri demi menjamin kestabilan.

Terdahulu pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top