Datang ke rumah minta tolong

Datang ke rumah minta tolong

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengalaman hidup susah mendorong aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang untuk membantu golongan memerlukan sejak 2005.

Menceritakan kisah hidupnya, Kuan, 63, berkata, dia yang lahir dalam keluarga miskin menyebabkannya rasa terpanggil untuk membantu orang dalam kesusahan.

“Setiap kali saya tengok orang miskin, saya jadi susah hati kerana saya sendiri pernah alami perkara sama.

“Disebabkan itu, saya mula beri bantuan makanan kepada mereka yang kurang berkemampuan menggunakan dana dikumpul bersama rakan.

“Sejak itu, ada individu yang sampai datang ke rumah saya untuk minta barang keperluan seperti beras, minyak dan gula,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selari dengan perkembangan teknologi, Kuan berkata, dia memanfaatkan kewujudan media sosial bagi mengutip dana daripada orang ramai untuk memperluaskan jenis bantuan.

“Menerusi sumbangan itu, saya kini mempunyai kira-kira 30 ambulans dan 20 van jenazah yang turut disumbangkan di surau terpilih dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehingga ke hari ini, saya rasa sudah ribuan individu memerlukan menerima bantuan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan bangsa di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurutnya, beliau bangga apabila individu dibantu berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.

“Saya pernah bantu seorang wanita Muslim yang menjual nasi lemak di Kinrara, Puchong, Selangor, kira-kira 12 tahun lalu. Sebelum ini, wanita itu hidup susah dan tidak memiliki rumah.

“Namun kini, wanita itu sudah berjaya memiliki rumah sendiri dan ada perniagaan katering. Kejayaan dia sekali gus mendorong saya untuk membantu lebih ramai individu memerlukan.

“Ada juga individu yang saya bantu sejak di bangku sekolah kini sudah berjaya menjadi doktor dan peguam. Malah, mereka anggap saya seperti bapa dan jemput saya pada hari bermakna dalam hidup seperti majlis konvokesyen serta perkahwinan,” katanya.

Beliau yang juga Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia berkata, kesenangan dan kesihatan baik dikecapi ketika ini adalah berkat daripada perbuatan sedekah yang dilakukannya.

“Saya selalu pesan supaya jangan tunggu kaya baru mahu sedekah. Ingat bahawa sedekah membuka pintu rezeki dan kesihatan baik bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga kepada ahli keluarga.

“Apa saja sedekah dihulurkan, jangan sesekali melihat pada warna kulit, agama dianuti serta bangsa kerana kita adalah manusia yang sama saja di sisi Tuhan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top