'Kami ingat itu mekanisme biasa dalam pertandingan'

'Kami ingat itu  mekanisme biasa dalam pertandingan'

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Untuk sebahagian pertandingan, memang saya ada menggunakan yuran penyertaan untuk membeli atau menyediakan hadiah kepada pemenang bagi menampung jumlah tajaan.

“Perkara sama dilakukan penganjur lain untuk menampung kos,” kata Fariz Aznan.

Dia adalah penganjur pertandingan yang aktif dalam penganjuran pertandingan berbentuk sukan.

Ditanya mengenai elemen perjudian apabila menggunakan yuran penyertaan, dia nyata tidak mengetahui tentang hukum berkenaan.

“Saya tidak tahu jika mengambil wang caj penyertaan untuk membantu tabung hadiah akan meletakkan pertandingan itu dalam elemen perjudian.

“Fahaman saya tentang judi adalah kita bertaruh saja, saya memang tidak tahu bahawa perbuatan mengambil yuran untuk dijadikan sebahagian daripada hadiah sudah mewujudkan elemen perjudian,” katanya.

Dia mengakui tidak menyedari penggunaan yuran penyertaan sebagai sebahagian daripada hadiah boleh dikategorikan sebagai judi.

Menurutnya, pendekatan itu dilihat sebagai cara biasa untuk mengumpul dana bagi menyediakan ganjaran lebih besar kepada pemenang.

“Kami ingat itu sekadar mekanisme biasa dalam pertandingan, peserta bayar, kemudian hadiah dikumpul daripada jumlah itu, saya tidak sangka ia ada implikasi hukum,” katanya.

Fariz menjelaskan bahawa kebanyakan penganjur kecil berdepan kekangan bajet, mengakibatkan mereka bergantung kepada yuran peserta untuk menampung hadiah.

“Kadang-kadang kami tidak ada penaja, jadi yuran itu sahaja sumber yang ada.

“Tapi bila isu ini dibangkitkan, kami sedar perlu perbaiki kaedah penganjuran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top