Keputusan salah, buka pintu lebih besar

Keputusan salah, buka pintu lebih besar
Keputusan salah, buka pintu lebih besar

Keputusan kerajaan membuka ruang kepada lepasan UEC melanjutkan pengajian ke IPTA mengundang polemik. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merupakan tindakan salah dan bersifat politik.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, pengiktirafan tersebut membuka ruang lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional.

Beliau berkata, selama ini sistem pendidikan negara berteraskan nasional dan mempertahankan ideologi nasionalisme yang tegas iaitu menggunakan Bahasa Melayu serta kurikulum kebangsaan.

 Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong

Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong

Bagaimanapun, katanya, dengan membenarkan UEC masuk ke dalam sistem, ia tidak lagi benar-benar bersifat nasional.

“Bagi saya, pengiktirafan UEC ini seperti membuka pintu yang besar. Ini keputusan yang salah dan lebih bersifat keputusan politik.

“Kita menggunakan Akta Pendidikan 1996 dan Seksyen 17 jelas menyatakan Bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama. Seksyen 18 pula menetapkan keperluan menggunakan kurikulum nasional.

“Sebaliknya UEC menggunakan bahasa Cina dan silibus Taiwan. Jadi UEC memang berada di luar sistem.

“Jelas sekarang sistem sudah ternoda.Sebelum ini bersih, tetapi apabila masuknya ‘titik nila’ UEC itu, sistem kita tidak lagi putih sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Faizal Haramaini berpandangan, walaupun terhad kepada bidang seperti Pengajian Bahasa Cina dan Linguistik Cina, namun keputusan KPT itu dibimbangi menjadi titik permulaan kepada pengiktirafan lebih meluas pada masa depan.

“Jika hari ini dibuka ruang untuk satu jurusan, esok mungkin timbul desakan supaya ia diperluaskan kepada jurusan lain pula.

“Akhirnya sedikit demi sedikit garis pemisah antara sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan persendirian akan menjadi semakin kabur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Scroll to Top