SUNGAI BULOH – “Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan atas penghargaan yang diberikan kepada kami semua,” kata Ahmad Nawawi Mohammad Adib pelajar cemerlang 11A dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Paya Jaras.Ahmad Nawawi berkata demikian selepas menerima penghargaan dalam Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara pada Sabtu.”Bagi saya, sumbangan seperti ini amat bermakna khususnya buat lepasan SPM yang sedang bersiap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sekurang-kurangnya ia memberi semangat dan keyakinan kepada kami untuk terus melangkah ke hadapan demi mencapai cita-cita pada masa depan.”Saya harap lebih banyak program seperti ini dapat diteruskan kerana ia benar-benar memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya. Insya-ALLAH, saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin, ” kata Ahmad Nawawi.Bagi Lee Wen Jing Veronica yang memperolehi keputusan 5A, pengiktirafan yang diterima disifatkan sebagai penghargaan paling bermakna terhadap segala usaha, pengorbanan dan kerja keras yang dicurahkan sepanjang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).”Saya bersyukur dan sangat menghargainya. Saya berterima kasih kepada guru-guru, ibu bapa dan semua yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sehingga berjaya memperoleh keputusan yang baik.”Program seperti ini memberi keyakinan kepada pelajar bahawa setiap usaha keras pasti akan dihargai. Terima kasih YB atas penghargaan yang sangat bermakna ini,” katanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra.Sementara itu, seorang lagi penerima, Tharun Jayakumardari SMK Seksyen 10 berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi kegembiraan kepada pelajar, malah menjadi pembakar semangat untuk terus mengejar impian masing-masing.”Saya bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan daripada YB. Penghargaan seperti ini sangat bermakna kerana ia menunjukkan usaha pelajar untuk berjaya dalam pelajaran sentiasa dihargai.”Ia juga memberi saya semangat untuk terus berusaha dengan lebih baik pada masa depan dan mencapai cita-cita yang saya impikan sejak kecil.”Saya harap program seperti ini dapat diteruskan lagi supaya lebih ramai pelajar mendapat motivasi dan inspirasi untuk terus berjaya dalam kehidupan,” ujarnya yang memperoleh keputusan 10A.Tiga kisah berbeza itu antara ratusan reaksi pelajar yang diraikan menerusi Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).Program berkenaan menyaksikan seramai 934 pelajar cemerlang dari 12 sekolah sekitar Sungai Buloh menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM318,900 sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik mereka.Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan itu turut menghimpunkan kira-kira 2,000 hadirin terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.Bagi kebanyakan penerima, bantuan yang diterima bukan sekadar penghargaan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam keadaan kos pendidikan yang semakin meningkat.Ada dalam kalangan ibu bapa dilihat hadir bersama anak-anak mereka seawal pagi bagi meraikan kejayaan yang dianggap hasil pengorbanan seluruh keluarga.Suasana dewan turut dipenuhi wajah ceria pelajar yang mengambil peluang bergambar bersama rakan dan keluarga selepas menerima penghargaan masing-masing.Program tersebut juga membawa pendekatan lebih inklusif apabila bukan sahaja meraikan pelajar dengan keputusan tertinggi, malah turut menghargai mereka yang memperoleh keputusan 4A dan ke atas.Pendekatan itu dilihat memberi ruang kepada lebih ramai pelajar untuk merasai pengiktirafan atas usaha dan komitmen mereka sepanjang menamatkan persekolahan.Usaha perkukuh pembangunan kemahiranDalam pada itu, HRD Corp memaklumkan inisiatif berkenaan selari dengan usaha memperkukuh pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran generasi muda negara.Ramanan dalam ucapannya menegaskan kepentingan pembangunan kemahiran dan peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.Beliau berkata, institusi TVET di bawah KESUMA seperti Kolej ADTEC terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.5 peratus.Katanya, pencapaian tersebut membuktikan laluan kemahiran juga mampu menjadi platform penting untuk membina kerjaya dan masa depan lebih baik buat golongan muda di negara ini.Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, program sedemikian bukan sahaja bertujuan mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi dorongan untuk generasi muda terus membina masa depan lebih baik.Menurutnya, kejayaan tidak datang dengan mudah dan pelajar perlu terus bekerja keras serta percaya kepada kemampuan diri sendiri.Beliau pada masa sama mengingatkan pelajar supaya tidak melupakan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan hidup mereka.



