Skandal rasuah C4i: Seorang lagi pegawai kanan polis ditahan

Skandal rasuah C4i: Seorang lagi pegawai kanan polis ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Superintendan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membatu siasatan berhubung perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.

Menurut sumber, penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima bayaran wang rasuah daripada kontraktor dan sub-kontraktor bagi kontrak berkenaan.

“Tindakan penggeledahan sudah dibuat di pejabat dan rumah Orang Kena Tahan (OKT) di Semenyih, Selangor untuk mengesan apa-apa dokumen yang membabitkan penerimaan wang rasuah daripada pihak kontraktor.

“Jumlah pembekuan akaun setakat ini adalah RM7.6 juta dan sebanyak lima belas rakaman percakapan saksi dan OKT sudah diambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, permohonan reman bagi OKT di Mahkamah Majistret Putrajaya akan dibuat esok.

Semalam, pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu ditahan kerana disyaki terbabit tuntutan palsu bagi perolehan berkenaan.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April 2025 dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan sekitar jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta yang mana sebahagian daripada kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.

“Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top