essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan keputusan pemilihan parti peringkat cabang akan dimuktamadkan segera.
Dr Zaliha berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil maklum pembentangan laporan terkini oleh JPP 2025 mengenai kaedah penelitian keseluruhan proses pemilihan yang akan diambil ke atas bantahan-bantahan yang diterima berhubung keputusan pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.
“Proses penelitian itu akan dilaksanakan dengan cermat, adil dan berhemah demi menjaga integriti pemilihan parti yang akan kemudiannya diteruskan untuk pengundian peringkat nasional pada bulan Mei hadapan.
“Sehubungan dengan itu, keputusan muktamad selepas penelitian terhadap semua bantahan dijadualkan untuk disahkan selewat-lewatnya pada 5 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, JPP akan memaklumkan lebih awal pemenang jawatan di peringkat cabang serta senarai perwakilan ke Kongres Nasional bagi cabang-cabang yang menang tanpa bertanding atau tidak mempunyai pertikaian yang munasabah mengikut penilaian JPP, pada 1 Mei 2025.
“Senarai berkenaan akan diserahkan juga secara rasmi kepada Pejabat Setiausaha Agung bagi tujuan penyelarasan dan persiapan Kongres Nasional, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Mei 2025.
“Bagi cabang-cabang yang sudah mengemukakan bantahan, proses penelitian masih berjalan dan setiap bantahan yang diterima melalui saluran rasmi JPP akan diteliti dan dipertimbangkan secara adil sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Katanya, proses pengundian semula bagi empat Cabang akan dijalankan pada 1 Mei 2025 yang membabitkan Cabang Jempol, Selayang, Silam dan Semporna dan satu notis pemakluman akan dikemukakan segera kepada cabang-cabang yang berkenaan.
“JPP menyeru seluruh anggota parti untuk terus bertenang, memberikan kepercayaan kepada proses yang sedang dijalankan, serta bersama-sama memastikan keharmonian dan perpaduan parti terus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
