JDT cemas sebelum julang Piala Malaysia

JDT cemas sebelum julang Piala Malaysia

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan gelaran ‘hatrik quadruple’ buat musim ketiga berturut-turut selepas menoktahkan trofi keempat musim ini apabila menjulang Piala Malaysia selepas menumbangkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, sebentara tadi.

Final edisi ke-98 ini bukan saja memperkukuhkan status JDT selaku pasukan terbaik di Liga Malaysia, malah ia kejuaraan Piala Malaysia kelima selepas memenangi pada 2017, 2019, 2022 dan 2023.

Namun kejayaan itu tidak hadir dengan mudah, apabila aksi kemuncak itu dihidangkan dengan pelbagai ‘drama’ dan beberapa keputusan kontroversi pengadil sepanjang aksi itu.

Buat Sri Pahang yang dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad pula, penampilan final kesembilan sejak 1983 tidak harus ditangisi kerana barisan pemainnya sudah menampilkan aksi terbaik untuk mengekang asakan pemain-pemain JDT.

Skuad Tok Gajah yang kali terakhir menjuarai Piala Malaysia pada 2014 bermula garang apabila berjaya mengejutkan kem JDT menerusi ledakan T Saravanan di minit ke-14.

Gol berpunca daripada sepakan sudut yang tepat menemui kepala Aleksandar Cvetkovic sebelum disambut Saravanan dengan rembatan kencang untuk menewaskan Syihan Hazmi.

Gol itu nyata menyentap ego JDT yang meningkatkan gear serangan ke kubu lawan. Bergson da Silva berjaya menyamakan kedudukan pada minit 25 namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapat penjaring terbanyak Liga Super musim ini itu offside.

10 minit kemudian ribuan penyokong di SNBJ tergamam apabila pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali melayangkan kad kuning kedua kepada Sergio Aguero untuk meninggalkan Sri Pahang dengan 10 pemain.

Tindakan Razlan nyata tidak disenangi peminat, malah pengamal media juga turut tidak berpuas hati.

Bersambung babak kedua, pengendali JDT, Hector Bidoglio memasukkan dua tenaga baharu iaitu Romel Morales dan Iker Undabarrena.

Arif Aiman Hanapi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dalam Anugerak Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim ini hampir mencetak gol namun rembatan leretnya ditepis Muhammad Zarif Irfan seawal minit 47.

Pada minit 53, VAR menjadi ‘penyelamat’ buat JDT apabila semakan VAR menyaksikan berlakunya kekasaran dalam kotak penalti, sekali gus Bergson menyempurnakan penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tiga minit kemudian, pertahanan skuad Harimau Selatan dari Korea Selatan, Park Jun-heong pula dilayangkan kad kuning kedua dan aksi kembali seimbang buat kedua-dua pasukan.

Gelaran MVP keempat berturut-turut yang diraih Arif Aiman sememangnya tepat apabila pemain lincah itu meledak gol kedua JDT di minit 73 selepas rembatan leretnya tepat ke sasaran.

Sri Pahang cuba memberi cabaran memburu gol penyamaan namun kelebihan satu gol JDT kekal hingga wisel penamat, sekali gus skuad Harimau Selatan membalas kekecewaan tewas di tangan lawan sama ketika final 2014 lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top