Penemuan dua mayat, mungkin mati lebih tujuh hari

Penemuan dua mayat, mungkin mati lebih tujuh hari

hafidzul@hmetro.com.my

Kajang: Mayat seorang wanita dan anak saudara lelakinya yang ditemukan mati di sebuah rumah di Semenyih kelmarin, berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih tujuh hari lalu.

Ia berdasarkan pendapat pakar selepas ‘maggots’ (ulat) pada mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis jangka hayat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini polis merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat berkenaan.

“Polis merakam keterangan lima individu iaitu jiran dan ahli keluarga mangsa. Ada beberapa saksi lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan pada esok (Isnin) bagi membantu siasatan.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat dua saudara itu masih belum diserah kepada keluarga.

Harian Metro semalam melaporkan dua saudara maut selepas disyaki dibunuh dalam rumah mereka di Semenyih dekat sini, semalam.

Mayat wanita berusia 53 tahun dan anak saudara lelakinya berusia 25 tahun ditemukan pihak berkuasa selepas menerima laporan daripada ahli keluarga mereka pada 8.43 malam.

Naazron dilaporkan berkata, laporan dibuat lelaki berusia 48 tahun yang juga adik kepada mangsa wanita selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan dan pengadu mendakwa kedua-dua mangsa tidak dilihat sejak kira-kira 10 hari lalu.

Beliau dilaporkan berkata, bertindak atas laporan, dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak memecah masuk rumah terbabit sebelum menemui dua mangsa terbaring di lantai ruang tamu.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia. Namun tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh dua mangsa.

“Pemeriksaan dalam rumah tidak menemui sebarang kesan (pecah masuk) atau barang digeledah, malah rumah mangsa juga dalam keadaan berkunci dari dalam dan beberapa barangan turut dirampas di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Naazron, bedah siasat ke atas dua mayat mangsa oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang hari ini, mengesahkan punca kematian disebabkan suffocation (kelemasan).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top