London: Paris Saint-Germain (PSG) meraih kelebihan dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropahh (UCL) menentang Arsenal apabila Ousmane Dembele menjaringkan gol kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama, awal pagi tadi.
Dembele menjaringkan gol pada minit keempat di Stadium Emirates dan pasukan kendalian Luis Enrique mengekalkan kelebihan itu dengan persembahan tenang yang menyukarkan Arsenal untuk menyerang.
PSG akan turun ke perlawanan kedua di Parc des Princes pada 7 Mei sebagai pilihan untuk mara ke final menentang sama ada Barcelona atau Inter Milan, dalam usaha mereka untuk memenangi kejohanan ini buat kali pertama.
Namun, juara Perancis itu tidak boleh mengambil mudah memandangkan sejarah mereka yang penuh dengan kegagalan dramatik di peringkat Eropah.
“Kami menunjukkan siapa kami sebagai satu pasukan. Kami cuba bermain dengan cara kami dan menjaringkan gol awal dengan pendekatan itu,” kata pengendali PSG, Luis Enrique.
“Ada ketika kami tertekan, tetapi kami hampir menjaringkan gol kedua. Perlawanan kedua nanti akan sangat sukar.
“Keputusan ini memberi sedikit kelebihan kepada kami. Kami boleh mara ke final, tetapi masih ada satu perlawanan lagi.”
Kekalahan pertama Arsenal dalam 18 perlawanan Eropah di laman sendiri menjadi tamparan hebat kepada harapan mereka untuk menjuarai UCL buat kali pertama.
Pengurus, Mikel Arteta menggelar kemaraan Arsenal ke separuh akhir sebagai ‘kisah yang indah.’
Walaupun keputusan ini mungkin sukar untuk diterima, tetapi Arteta menegaskan peluang mereka belum tertutup sepenuhnya.
“Kami telah berikan segala-galanya dalam perlawanan ini. Ini baru separuh masa dan kami masih mempunyai peluang besar untuk ke final,” kata pengendali The Gunners itu.
“Kami bergelut dalam 15 minit pertama untuk mendapatkan rentak dan penguasaan, tetapi pada akhirnya saya kecewa kerana tidak dapat sekurang-kurangnya seri. Itulah bezanya, itulah tahapnya.”
Arsenal sebelum ini menewaskan juara bertahan, Real Madrid dengan agregat 5-1 untuk mara ke separuh akhir UCL buat kali pertama sejak tewas kepada Manchester United pada 2009.
Namun mereka gagal mengulangi aksi bertenaga yang menyaksikan mereka menewaskan Madrid 3-0 dalam perlawanan pertama, meskipun suasana di stadium sangat bersemangat menjelang sepak mula.
Ketika pemain Arsenal berkumpul dalam bulatan sebelum perlawanan di terowong, Declan Rice meniup semangat rakan sepasukannya dengan laungan: “Kalau kita tak ada bola, kita mati.”
Namun PSG sudah menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool di pusingan 16 terbaik dan Aston Villa di suku akhir, selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Manchester City dalam peringkat kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




