Sao Paulo: Penantian panjang selama 25 tahun bakal berakhir apabila kejohanan tenis wanita bertaraf WTA kembali dianjurkan di Brazil September ini – dengan bandar raya terbesar negara itu, Sao Paulo, dipilih sebagai tuan rumah Terbuka SP WTA 250.
Kejohanan yang akan berlangsung pada minggu bermula 8 September itu bakal menggantikan Terbuka Jasmine di Monastir, Tunisia, dan akan mempertaruhkan 32 pemain dalam saingan perseorangan serta 16 regu beregu di atas gelanggang keras terbuka.
Ia menandakan kemunculan semula kejohanan WTA di Sao Paulo buat kali pertama sejak tahun 2000, yang menyaksikan pemain Hungary, Rita Kuti Kis muncul juara perseorangan di Brasil Open ketika itu.
Gandingan dari Argentina, Laura Montalvo dan Paola Suarez pula menjuarai acara beregu.
Kemunculan semula kejohanan ini dilihat seiring dengan musim 2025 yang cukup rancak, apabila setakat ini 15 pemain berbeza menjuarai pelbagai kejohanan WTA bertaraf 250, 500 dan 1000 – termasuk remaja sensasi Rusia, Mirra Andreeva yang muncul juara termuda dalam sejarah kejohanan WTA 1000.
WTA turut mengesahkan pertumbuhan besar dalam jangkauan penonton sejak penjenamaan semula dilancarkan, dengan peningkatan 25 peratus pengikut di media sosial dan lonjakan tontonan video sebanyak 163 peratus pada suku pertama tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd