norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam kini dalam rundingan dengan negara luar seperti Thailand, Kemboja, Vietnam termasuk Indonesia untuk membawa filem Blood Brothers: Bara Naga bagi tayangan di sana.
Yusof, 70, berkata, pihaknya juga sudah sedia mengeluarkan bajet tambahan untuk melakukan proses alih bahasa lokal sebagai langkah memudahkan penonton memahami jalan cerita dipersembahkan dalam Blood Brothers.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita bawa filem tempatan kita melebarkan sayap ke luar negara. Oleh itu, saya tekad buat rundingan dengan beberapa negara seperti Thailand, Kemboja, Vietnam temasuk Indonesia.
“Bagaimanapun, kita sudah mendapat persetujuan daripada Thailand dan tayangan Blood Brothers di sana, mungkin kita buat pada Jun depan. Sebelum itu, kita perlu keluarkan bajet tambahan untuk proses alih bahasa.
“Dalam soal ini (lakukan proses alih bahasa), saya juga tidak kisah perlu keluarkan bajet tambahan untuk itu. Bagi saya, apa yang penting kita cuba dulu dan berjaya atau tidak, lain cerita,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut pengarah filem Sembilu ini, dia tidak mahu memikirkan kegagalan sebelum mencuba kerana kalau filem negara lain boleh masuk tayangan ke Malaysia, takkan produk seni kita pula tidak mampu ke mana-mana.
“Sama ada gagal atau tidak apa yang saya cuba usahakan ini untuk bawa filem Blood Brothers ditayangkan di negara luar, saya tidak peduli dengan apa saja maklum balas keputusannya nanti.
“Saya sudah bersedia untuk bawa filem kita kepada ‘market’ penonton luar walaupun kita perlu buat alih bahasa. Ini kerana, kita juga kena hormati penonton lokal dan saya tak akan mudah putus asa,” katanya.
Menurut Yusof lagi, walaupun agak sukar juga untuk Blood Brothers mendapat tayangan di Indonesia, namun dia masih cuba teruskan rundingan dua hala selepas mengambil kira pengalaman lalu membawa filem Malaysia ke sana.
“Di Indonesia ini, saya tahu agak sukar nak masuk kerana di sana juga ada lambakan filem berlaku. Boleh dikatakan, kira-kira ribuan filem sudah siap dibuat, tetapi menunggu masa untuk ditayang pawagam.
“Tapi, saya akan cuba juga sampai berjaya. Sebab, kita di Skop Productions sebelum ini pernah berjaya membawa filem seperti Munafik 2 dan Misteri Dilaila ke Indonesia yang dapat kutipan agak baik juga,” katanya.
Bagi pembikinan filem Blood Brothers itu, Skop Productions dan penerbit bersama, Primeworks Studios membelanjakan bajet RM7 juta dan selama 20 hari tayangan, kutipan ‘box office’ terkini dicatat sebanyak RM62 juta.
Terdahulu, Yusof hadir ke lokasi ikonik Bukit Bintang yang dipilih sebagai venue meraikan kejayaan jumlah terkini kutipan Blood Brothers sebanyak RM62 juta di papan LED gergasi di situ, malam tadi.
Selain Yusof, hadir sama pengarah bersama Blood Brothers: Bara Naga iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra serta semua barisan pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis, dan Razib Salimin.
Lebih 1,500 pengunjung meraikan barisan penerbit, pengarah dan pelakon filem terbabit dalam sesi jelajah promosi yang diadakan di ibu kota itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

