Fort Lauderdale: Ratu kolam renang Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky menghantar mesej amaran awal kepada pencabarnya menjelang Sukan Olimpik apabila mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah acara 1,500 meter (m) gaya bebas pada kejohanan TYR Pro Series, awal pagi tadi.
Turun buat kali pertama di pentas elit sejak Olimpik Paris tahun lalu, Katie, 28, menamatkan saringan di Fort Lauderdale dengan masa luar biasa 15 minit 24.51 saat (s) – hanya kurang empat saat daripada rekod dunianya sendiri (15:20.48s) yang dicatat di Indianapolis pada 2018.
Catatan itu jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dalam saringan, Jillian Cox, yang ketinggalan hampir 40s.
“Saya memang bersemangat hari ini,” kata Katie.
“Saya tahu saya menjalani latihan yang baik, tapi tak sangka dapat masa sebegini. Saya sasarkan 15:36s, sekadar catatan terbaik musim ini… jadi memang saya amat gembira.”
Katie kini memiliki 22 catatan terpantas sepanjang zaman dalam acara 1,500m gaya bebas dan belum pernah ditewaskan dalam acara itu sejak kali terakhir tewas di Maryland pada 2010 – ketika beliau baru berusia 13 tahun.
Bintang yang mula mencuri tumpuan dunia sejak memenangi emas Olimpik pertama di London 2012 itu turut mengesahkan hasrat untuk terus beraksi hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Tak rasa pun saya sudah hampir tamatkan karier,” katanya selepas menang emas di Paris tahun lalu.
“Saya rasa semua atlet AS ada impian yang sama – betapa hebatnya jika dapat bertanding di Olimpik di tanah air sendiri. Jadi, saya mahu teruskan ke sana.”
Catatan Katie hari ini juga lebih pantas lima saat daripada masa yang membawanya meraih emas di Paris Ogos lalu — satu lagi bukti dia masih kekal di puncak dan belum bersedia untuk menyerahkan takhta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




