am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Tiada pembelian panik berlaku dalam kalangan pengguna di Terengganu walaupun kerajaan menetapkan pengurangan kadar subsidi telur ayam memandangkan bekalan telur ayam mencukupi.
Menurutnya, begitu juga dengan bekalan keperluan lain yang dilihat mencukupi bagi pengguna di negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, begitu juga dengan bekalan keperluan lain yang dilihat mencukupi bagi pengguna di negeri itu.
Semalam, kerajaan mengumumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula hari ini dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitf.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
Sementara itu, Mohd Mufsi berkata, penganjuran Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sehingga akhir April lalu memberi manfaat kepada 314,521 orang pengunjung dan berjaya mencatatkan hasil jualan melebihi RM13 juta di negeri itu.
Menurutnya, KPDN Terengganu hingga kini sudah menganjurkan 314 siri PJRM membabitkan tiga jenis model pelaksanaan iaitu 136 siri di dalam premis, 177 siri secara bergerak dan satu siri di dalam pasar bagi kesemua lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri.
Katanya, sempena sambutan Hari Pekerja pada tahun ini, KPDN Terengganu turut mengadakan PJRM secara serentak di lapan lokasi merangkumi kesemua Parlimen di Terengganu.
“Secara tidak langsung memberi peluang dan kesempatan kepada pengguna khususnya rakyat Terengganu yang sedang bercuti untuk membeli barangan keperluan harian mereka.
“Pelaksanaan PJRM sempena Hari Pekerja ini diadakan sedikit berbeza dari kelaziman di mana ia dilaksanakan di luar premis dan terbuka selama dua hari pada 1 dan 2 Mei,” katanya.
Beliau ditemui pada PJRM Luar Premis Sempena Hari Pekerja di Dataran Kuala Berang di sini, hari ini.
Menurutnya, jualan kali ini membabitkan kapasiti yang lebih besar dari segi jumlah barangan yang ditawarkan serta potongan harga yang diberikan.
Katanya, sebagai contoh pelaksanaan PJRM sempena Hari Pekerja di Dataran Kuala Berang pada hari ini membabitkan sebanyak 105 (Stock Keeping Unit-SKU).
Beliau berkata, barangan jualan seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran dengan potongan harga 10 sehingga 30 peratus ditawarkan kepada pengguna.
“Lokasi PJRM untuk hari ini di lapan lokasi iaitu di Kampung Batu 13 Hulu Besut, Dewan Serbaguna Kampung Telaga Papan (Setiu), Bangunan Kedai Baharu Taman Desa Tanjong Damai (Kuala Nerus).
“Hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran (Kuala Terengganu), Taman Rekreasi Bukit Payung (Marang) Dataran Kuala Berang (Hulu Terengganu), Pusat Komuniti Desa Bandar AMBS (Dungun) dan Pasar Tani Kekal Kertih (Kemaman),” katanya.
Menurutnya, maklum balas pengunjung yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJRM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan beban kewangan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd

