am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan pertahankan telaga warisan ‘Telaga Low Tiey’ yang berusia lebih 300 tahun daripada dimusnahkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata, telaga warisan yang dibina pada abad ke-17 itu akan terus dipulihara, walaupun kawasan terbabit dengan projek pembinaan kondominium mewah setinggi 30 tingkat.
Menurutnya, kerajaan sudah memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju projek itu agar tidak merobohkan telaga warisan yang dibina ketika Dinasti Ming pada abad ke-17.
“Kita sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan syarikat pemaju dan mereka akur serta berjanji akan memulihara telaga berkenaan.
“Telaga itu terpaksa ditimbus dengan tanah bagi mengelakkan pecah dan rentak berikutan kerja-kerja penanaman cerucuk,” katanya ketika meninjau telaga warisan itu di kawasan tapak pembinaan kondominium mewah di Kampung Cina di sini, hari ini.
Razali berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa telaga warisan itu dimusnahkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek kondominium mewah yang dianggarkan bernilai RM178 juta seperti ditularkan melalui aplikasi Facebook (FB) sejak Ahad lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan alasan diberikan syarikat pemaju yang turut mengakui kawasan telaga warisan itu akan ditambah baik agar dapat dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita tidak menyalahkan pemilik FB yang merakamkan gambar dan membuat kenyataan mendakwa kerajaan negeri akan memusnahkan telaga berkenaan.
“Tetapi kita ingatkan kepada pimpinan politik agar mendapatkan penjelasan daripada kerajaan sebelum membuat tuduhan yang bertujuan mencemarkan imej kerajaan negeri,” katanya.
Razali menegaskan, kerajaan sudah membuat ketetapan semua bangunan bersejarah berusia melebihi 50 tahun akan terus dipulihara walaupun kawasan berkenaan terbabit dengan projek pembangunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd