am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Persiapan majlis sudah lengkap sepenuhnya dan hanya menunggu hari untuk melangsungkan perkahwinan namun seorang pengantin perempuan menemui ajal selepas kemalangan, hari ini.
Siti Nur Syamira Samsol, 28, yang sepatutnya menjadi raja sehari Sabtu ini, meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), 8.30 pagi tadi.
Arwah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya, Zainab Sakardi, 61, di Kampung Benaung, Mersing bagi membuat persiapan serta majlis tahlil bapanya, Samsol Ismail, esok sebelum majlis persandingan berlangsung.
Menurut kakaknya, Siti Nor Syamila, 37, berita pemergian adiknya itu hanya diketahui selepas dimaklumkan tunangnya beberapa minit sebaik mereka terbabit kemalangan.
“Kami sudah membuat persiapan sepenuhnya dan hanya menunggu hari majlis berlangsung namun bila dapat berita sedih ini, kami tidak tahu hendak cakap apa lagi.
“Semua termasuk barang hantaran sudah siap lebih awal, arwah pun nampak gembira bila hari majlis semakin dekat. Persiapan majlis ini, dia minta nak uruskan semua, kami hanya perlu bantu dalam hal tertentu.
“Dua tahun lalu, kami kehilangan abah, hari ini adik pula. Kesedihan kami masih belum terubat dan ditambah pula pemergian adik dua hari sebelum majlis berlangsung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.
Menurut Nor Syamila, dia menerima panggilan daripada emaknya pada 9.15 pagi memaklumkan arwah adik kemalangan namun menyangka ia tidak membabitkan kematian.
Katanya, dia kemudian menghubungi tunang arwah untuk mendapatkan kepastian dan diberitahu Nur Syamira tidak cedera teruk dan hanya luka kecil.
“Kami beritahu adik beradik untuk bersiap ke sini (HSNI) untuk melawat arwah namun kira-kira 15 minit kemudian, tunang hubungi saya beritahu adik sudah tiada.
“Sehari sebelum kejadian, arwah hubungi emak beritahu nak gerak balik ke Mersing dan mereka berjanji untuk keluar membeli barangan persiapan majlis kahwin.
“Emak tidak terkata-kata bila dapat tahu berita ini, emak sekarang hanya tunggu arwah di rumah. Saya pula rapat dengan arwah jadi apabila dia sudah tiada, saya sangat sedih.
“Arwah dan tunang bekerja di Kuala Lumpur dan mereka pulang untuk membuat persiapan terakhir sebelum majlis berlangsung,” katanya.
Mengenai majlis perkahwinan arwah Sabtu ini, Nor Syamila berkata, dia dan keluarga belum memutuskan sama ada perlu diteruskan atau mengadakan tahlil.
Katanya, buat masa ini, mereka perlu selesaikan urusan arwah yang akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu.
Katanya, siasata dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana saksi kejadian diminta tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

