am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak terus ‘hanyut’ dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kemenangan itu tidak bermakna parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan terus menang pada pilihan raya akan datang, sebaliknya parti perlu terus bekerja keras bagi meyakinkan rakyat serta memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Kita menang (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Itu tidak bermakna kita boleh menang selamanya.
“Jadi, kita jangan sombong dan terus buat kerja bagi meyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) sudah mempelajari banyak perkara.
“UMNO akan cuba memperbaiki segala kelemahan dalam BN untuk memastikan setiap calon bertanding mengambil kira perkara penting untuk memastikan parti ini terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai taklimat Ahmad Zahid sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), di sini, hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, Ahmad Zahid menggesa anggota parti supaya mensyukuri kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, namun tidak menjadikannya alasan untuk berasa selesa.
“… dan wajar untuk kita terus bangunkan parti, kuatkan parti, dan pastikan parti terus mendapat keyakinan daripada rakyat,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahmad Zahid memberikan garis panduan hala tuju parti yang wajar dibincangkan oleh perwakilan sepanjang PAU kali ini.
“Hala tuju ini adalah perkara asas dalam PAU kerana dalam perlembagaan UMNO iaitu platform tertinggi yang mempunyai kuasa menentukan segala bentuk kerjasama serta hala tuju parti dalam menghadapi pilihan raya.
“Kita berbalik kepada dulu-dulu pada waktu kita nak mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Kita kembali kepada platform kedua tertinggi iaitu Majlis Kerja Tertinggi (UMNO).
“Namun di akhirnya, ia mesti diabsahkan dalam PAU. Jadi, semua ini adalah sistem pentadbiran dan pengoperasian UMNO yang sudah berusia 80 tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

