sukan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Jika Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) gegak gempita dengan kehadiran penyokong Selangor FC (SFC) tiga hari lalu namun venue itu menjadi sepi bagaikan ‘tanah perkuburan’, malam ini.
Tiada deruan sorakan dan paluan gendang di bangku penonton untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA berdepan Sabah FC, sekali gus menjadikan persekitaran venue perlawanan itu bagaikan tidak bernyawa.
Di dalam stadium, kawasan tempat duduk penonton kosong sepenuhnya kerana yang berada di venue perlawanan hanyalah pemain kedua-dua pasukan, barisan kejurulatihan, petugas perlawanan serta pengamal media yang hadir untuk membuat liputan.
Perkarangan MBPJ yang selalunya meriah kini bertukar lengang sepenuhnya tanpa sebarang kelibat peminat.
Kesunyian luar biasa ini berlaku selepas ‘The Red Giants’ dikenakan hukuman beraksi tanpa penyokong oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Hukuman tatatertib itu dijatuhkan berikutan insiden kekecohan membabitkan penyokong ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada suku akhir musim lalu.
Suasana sepi ini jelas memadamkan kehangatan biasa bagi aksi penting pusingan 16 Piala FA.
Aksi yang sepatutnya menjadi gah akhirnya bertukar ‘sendu’ dan memberi kesan bukan sahaja kepada penyokong tuan rumah tetapi juga kepada penyokong Sabah FC yang sudah pasti ingin memberi sokongan secara terus.
Sebagai rekod, perlawanan kedua ini menjadi penentu hidup mati kedua-dua pasukan untuk merebut slot berharga ke peringkat suku akhir.
Pada perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 sekali gus pertembungan ini dijangka menjadi sengit dan berintensiti tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
