nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan melancarkan tabung kutipan derma bagi membantu mangsa kebakaran membabitkan lapan rumah di Kampung Kijang yang terbakar pada Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata pelancaran tabung berkenaan untuk
membantu kesemua mangsa kebakaran itu mendapatkan rumah baharu.
“Memandangkan mangsa kebakaran ini terdiri daripada golongan miskin dan tapak rumah pula hanya disewa, kita mengambil inisiatif untuk melancarkan tabung.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud untuk mendapatkan lapan unit Rumah Dhuafa’ di Kampung Badang yang dibina kerajaan negeri.
“Kos untuk mendapatkan rumah berkenaan sebanyak RM500,000 dan sekiranya tabung yang dilancarkan ini berjaya mendapat sejumlah nilai berkenaan, kita akan menempatkan mereka di rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kebakaran di sini, hari ini.
Dr Izani berkata, tabung berkenaan akan dilancarkan selama sebulan dan untuk mendapatkan rumah berkenaan bergantung kepada jumlah duit yang diterima.
“Buat masa sekarang, kita akan mencari rumah sewa untuk lapan keluarga berkenaan bagi tempoh tiga bulan dan bayaran itu akan ditanggung kerajaan negeri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 31 orang tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah dihuni mereka di Kampung Kijang di sini, musnah dalam kebakaran jam 4.40 petang Isnin lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

