syafil.syazwan@hmetro.com.my
FILEM: 1 Kakak 7 Ponakan
PENGARAH: Yandy Laurens
PENULIS SKRIP: Yandy Laurens
PELAKON: Chicco Kurniawan, Amanda Rawles, Fatih Unru, Freya JKT48, Ahmad Nadif, Kawai Labiba
TERBITAN: Mandela Pictures, Cerita Films
ULASAN: Syafil Syazwan Jefri
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Filem 1 Kakak 7 Ponakan adalah filem drama kekeluargaan dari Indonesia yang mengangkat tema tanggungjawab, kasih sayang dan pengorbanan.
Ceritanya mengisahkan mengenai Moko, seorang pemuda yang terpaksa memikul tugas besar menjaga tujuh anak saudaranya selepas kematian kakak dan abang iparnya.
Walaupun Moko seorang lelaki, anak-anak saudaranya memanggilnya ‘kakak’, merujuk kepada istilah dalam budaya Indonesia yang lebih fleksibel dalam penggunaan panggilan ini, terutama kerana jarak usia mereka yang tidak terlalu jauh.
Filem ini menawarkan perjalanan emosi yang kuat, tetapi tidak membawa penonton ke arah rasa bosan. Plotnya disusun kemas dan bergerak lancar tanpa meleret.
Setiap babak mempunyai peranan penting dalam mengembangkan cerita, dan penonton sentiasa tertanya-tanya apa yang akan terjadi seterusnya.
Pendekatan ini membuatkan filem ini terasa dinamik dan hidup, walaupun mengangkat tema yang berat.Antara kekuatan utama filem ini adalah pengarahnya yang berjaya menyesuaikan karya asal berformat sinetron kepada bentuk filem berdurasi penuh.
Adaptasi ini bukan sahaja mengekalkan roh asal cerita, malah memperkayakannya dengan sentuhan emosi lebih mendalam.
Dikatakan bahawa pengarah turut menyelitkan sedikit pengalaman peribadinya dalam penceritaan, menjadikan kisah ini lebih dekat dengan realiti dan mudah meresap ke hati penonton.
Dari segi lakonan, barisan pelakon membawa watak masing-masing dengan sangat meyakinkan.
Moko sebagai watak utama menunjukkan transformasi jelas daripada seorang pemuda biasa kepada seorang abang yang penuh rasa tanggungjawab.
Hubungannya dengan ketujuh-tujuh anak saudaranya terasa tulen dan penonton dapat melihat ikatan kasih sayang berkembang di sepanjang filem ini.
Selain elemen kekeluargaan, filem ini turut menyelitkan sedikit unsur romantik.
Namun, ia tidak berlebihan dan tetap menjaga fokus utama kepada tema keluarga.
Elemen yang boleh dilabel kecil ini lebih berfungsi sebagai pelengkap, memberi warna tambahan kepada kehidupan Moko tanpa mengganggu emosi utama dibina sepanjang filem.
Aspek emosi dalam 1 Kakak 7 Ponmenjadi tarikan terbesar.
Babak-babak seperti Moko bergelut untuk memahami peranan baharunya, saat-saat dia berusaha memenuhi keperluan anak-anak saudaranya dan ketika konflik kecil berlaku antara mereka, semuanya dipersembahkan dengan jujur dan berkesan.
Tangisan, gelak ketawa, pergaduhan kecil, semua ini mencipta suasana yang realistik dan menyentuh.
Pujian juga harus diberi kepada filem ini kerana berani membawa genre drama kekeluargaan ke pasaran Malaysia yang kebiasaannya dibanjiri dengan filem-filem seram dari Indonesia.
Keberanian ini membuka ruang baharu untuk lebih banyak karya Indonesia yang mengangkat tema-tema berat, tetapi dibawakan secara ringan dan ‘relatable’ untuk tontonan antarabangsa.
Dari aspek teknikal, sinematografi filem ini ringkas, tetapi berkesan. Tiada elemen berlebihan atau penggunaan teknik dramatik yang keterlaluan.
Semua disusun untuk memastikan emosi penonton terus tertumpu kepada cerita dan watak-wataknya.
Secara keseluruhannya, 1 Kakak 7 Ponakan sebuah filem yang jujur, menyentuh hati, dan memberikan pengalaman menonton yang bermakna.
Ia mengingatkan kita mengenai nilai kekeluargaan, pengorbanan dan bagaimana kasih sayang boleh mengatasi apa jua rintangan.
Bagi sesiapa yang mencari filem yang mampu membuat anda tersenyum, menangis, dan merenung tentang erti keluarga, filem ini sememangnya layak untuk ditonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




