Sufian Suhaimi, Rania kini suami isteri

Sufian Suhaimi, Rania kini suami isteri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Sufian Suhaimi, 33, selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Rania Al Sadat, 25, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Majlis akad nikah berlangsung sekitar jam 9.30 pagi dengan hanya sekali lafaz daripada Sufian, disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.

Sufian berkata, majlis meraikan mereka akan diadakan secara tertutup.

“Majlis resepsi akan diadakan dalam suasana sederhana dan tertutup, khusus untuk ahli keluarga terdekat sahaja di ibu kota, dengan jemputan yang terhad,” katanya.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Syaraff Al Sadat, dengan mas kahwin satu dinar emas serta tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat Rania.

Pasangan ini mula berkenalan sejak tahun 2022 dan mengikat tali pertunangan pada awal Februari 2025.

Mereka kemudiannya sepakat untuk disatukan sebagai suami isteri hanya dua bulan selepas bertunang, selepas mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

Sebagai tanda istimewa sempena hari bahagianya, Sufian turut melancarkan sebuah lagu baharu bertajuk Saksi, hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.

Lagu itu yang membawa naratif kisah cinta mereka turut dilancarkan bersama muzik video eksklusif menampilkan Rania sendiri sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka.

Muzik video rasmi Saksi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Sufian Suhaimi bermula jam 2 petang hari ini.

Dalam kenyataan lanjut, pasangan ini memaklumkan bahawa mereka akan terus komited terhadap kerjaya masing-masing. Sufian kini sedang giat menyiapkan album sulungnya yang dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top