New Jersey: Pemain sayap muda Brazil, Rayan, sudah mencipta sejarah di Piala Dunia 2026 menerusi aksi cemerlangnya di atas padang, namun kini mengakui perlu melakukan “kerja rumah” menjelang pertemuan dengan Jepun pada pusingan 32 terbaik.
Juara dunia lima kali itu akan berdepan wakil Asia berkenaan di Houston, Isnin ini, dalam usaha meneruskan misi memburu kejuaraan dunia keenam selepas muncul juara Kumpulan C hasil kemenangan 3-0 ke atas Scotland.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu di Piala Dunia 2006 dengan Brazil menang 4-1 ke atas Jepun yang ketika itu dibimbing legenda Brazil, Zico.
Namun, aksi persahabatan pada Oktober tahun lalu memberi amaran awal apabila Jepun bangkit menewaskan Brazil 3-2 selepas skuad Samba terlebih dahulu mendahului 2-0.
“Kami tahu Jepun adalah pasukan yang sangat kuat dan kami sedang bekerja keras untuk memberikan aksi terbaik serta menewaskan mereka,” kata Rayan.
Bagaimanapun, ketika ditanya wartawan televisyen Jepun mengenai siapakah pemain terbaik pasukan Samurai Biru, pemain berusia 19 tahun itu mengakui dia masih belum mengenali lawan mereka secara mendalam.
“Kawan, saya tidak tahu siapa pemain terbaik mereka,” katanya sambil tersenyum malu.
“Saya perlu menonton rakaman video terlebih dahulu sebelum boleh menjawab soalan itu.”
Peluang untuk mengkaji kekuatan Jepun kini terbuka luas sebelum aksi Isnin nanti.
Pemain Bournemouth itu berjaya merebut tempat dalam kesebelasan utama selepas Raphinha mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Haiti.
Rayan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin apabila aksi tekanan tinggi yang dipamerkannya membantu Brazil membuka jaringan awal ketika menentang Scotland.
Dia merampas bola daripada pertahanan Scotland sebelum menghadiahkan bantuan jaringan kepada Vinicius Junior pada minit ketujuh.
Rekod itu menjadikan Rayan pemain termuda Brazil mencipta bantuan gol di Piala Dunia sejak legenda Pele melakukannya pada 1958.
Dia juga muncul pemain remaja keenam yang berada dalam kesebelasan utama Brazil di Piala Dunia dan yang pertama sejak Marco Antonio pada edisi 1970.
“Jurulatih Carlo Ancelotti banyak menekankan tanggungjawab kami ketika bertahan. Beliau sentiasa mengingatkan bahawa proses bertahan bermula daripada penyerang.
“Walaupun kami penat, kami tetap perlu memberi tekanan kepada lawan.
“Saya rasa banyak meningkatkan kemampuan bertahan. Kami perlu bertahan dengan baik sebelum memikirkan untuk menyerang.
“Kami sedar sebarang kesilapan ketika ini boleh membawa padah. Jepun adalah pasukan yang sangat kuat, sebab itu kami perlu membuat persiapan lebih rapi dan memberikan segala-galanya dalam perlawanan nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




