RANTAU PANJANG: Penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan membimbangkan apabila berlaku trend peningkatan sejak 2022 sehingga tahun ini melibatkan tangkapan, reman dan sabitan kes.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik itu diperoleh daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Narkotik Bukit Aman, Pusat Pemulihan Dadah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Tren peningkatan tangkapan dan kes dadah ini sangat jelas, malah, data menunjukkan Kelantan mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi iaitu lebih 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk, jauh melebihi purata nasional iaitu 566.
“Empat negeri sempadan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, berada dalam senarai negeri tertinggi penyalahgunaan dadah. Manakala lima daerah utama di negara ini ialah empat daripadanya ialah di Kelantan iaitu Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh selain Pendang (Kedah),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ibrahim Pencen di sini hari ini.
Saifuddin Nasution memberitahu, beliau menggesa Polis Kelantan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah selain meminta AADK memperkemas strategi pencegahan melibatkan komuniti serta institusi pendidikan.
Katanya, Penjara Machang mencatatkan kadar kesesakan tertinggi di Malaysia ketika ini selepas menempatkan lebih dua kali ganda daripada kapasiti asal, dengan 80 peratus banduan terlibat dalam kes berkaitan dadah.
“Penjara itu mampu menampung 1,560 orang banduan, namun kini dihuni seramai 3,184 orang. 80 peratus daripada bantuan yang berada di Machang adalah berkaitan kesalahan dadah.
“Di negara ini terdapat 43 penjara dan di Machang adalah paling sesak. Begitu juga Penjara Pengkalan Chepa turut berdepan situasi serupa apabila menempatkan seramai 2,977 orang banduan berbanding kapasiti asal iaitu 1,500 orang,” ujarnya.
Saifuddin Nasution berkata, 65 peratus daripada jumlah itu merupakan kes berkaitan dadah sama ada reman atau sabitan.-UTUSAN




