
WASHINGTON: Pelancong AS yang menerima vaksin Covid-19 akan dibenar berkunjung ke Kesatuan Eropah (EU) dalam beberapa bulan akan datang, kata Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam wawancara dengan The New York Times semalam.
Kenyataan beliau itu menunjukkan satu perubahan besar dalam dasar EU ketika program vaksinasi meningkat di seluruh dunia. Namun, von der Leyen tidak memberikan tarikh yang tepat, sebaliknya menurut Times peraturan baharu itu dapat dilaksanakan menjelang musim panas ini.
“Setakat ini, rata-rata rakyat Amerika menggunakan vaksin yang diluluskan oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah,” katanya.
“Ia akan membolehkan pergerakan bebas dan perjalanan masuk ke Kesatuan Eropah.
“Satu perkara yang jelas adalah: Semua 27 negara anggota akan menerima, tanpa syarat, semua negara yang mendapat vaksin yang diluluskan oleh EMA.”
EMA, pengendali ubat-uabtan blok tersebut, telah meluluskan tiga vaksin yang digunakan di AS – Moderna, Pfizer dan Johnson & Johnson.
The Times berkata program vaksinasi yang pesat di AS, dan kemajuan dalam perbincangan mengenai cara menggunakan sijil vaksin, kini berada di belakang rancangan untuk membenarkan perjalanan percutian dari AS ke EU.
Von der Leyen berkata AS telah mencapai “kemajuan besar” dan menegaskan ia berada di landasan tepat untuk memvaksinasi 70% orang dewasa menjelang pertengahan bulan Jun.
Pembukaan semula sektor pelancongan akan bergantung pada “keadaan epidemiologi, namun keadaannya semakin baik di AS, begitu juga di Kesatuan Eropah”, tambahnya.
Wabak ini telah menjejaskan sektor pelancongan di benua itu, memaksa banyak negara menutup sempadan untuk perjalanan yang tidak penting.
Minggu lalu Greece berkata pelancong dari EU dan lima negara lain yang diberi vaksin atau dengan ujian Covid-19 negatif baru-baru ini tidak perlu lagi dikuarantin semasa ketibaan.
Negara ini ingin membuka kembali sektor pelancongannya yang teruk terjejas sekali gus telah meningkatkan pemberian vaksinnya dengan harapan dapat mewujudkan kekebalan dalam kalangan penduduk.
Kesatuan Eropah berkata ia mahu melancarkan pasport vaksin untuk pelancong, namun rancangan itu masih belum rasmi.




