London: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim, mengingatkan barisan pemainnya bahawa mereka memikul ‘tanggungjawab besar’ untuk menyelamatkan musim hambar dengan menjuarai Liga Europa.
United bakal berdepan aksi separuh akhir kedua menentang Athletic Bilbao di Old Trafford, Jumaat ini, selepas tewas sekali lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kali ini 3-4 kepada Brentford, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Red Devils terus tenggelam di tangga ke-15 liga dan berdepan risiko menamatkan musim dengan kedudukan terburuk sejak penyingkiran pada musim 1973-74.
Rekod tanpa kemenangan United dalam EPL kini berlanjutan kepada enam perlawanan, malah mereka ketinggalan 1-4 kepada Brentford sebelum gol lewat Alejandro Garnacho dan Amad Diallo sedikit sebanyak menceriakan penyokong yang kecewa.
Dalam 24 perlawanan liga sejak mengambil alih tugas, Amorim sudah tewas 12 kali dan hanya mencatat enam kemenangan — rekod yang mencetus tekanan hebat terhadap pengendali dari Portugal itu.
Bagaimanapun, kemenangan 3-0 dalam aksi pertama menentang Bilbao memberi harapan baharu kepada United untuk menempah slot ke Liga Juara-Juara menerusi kejuaraan Liga Europa.
“Saya rasa tekanan sebenar ialah apabila kita sering tewas, bukannya bila kita bersaing merebut kejuaraan,” kata Amorim.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa kami bermain dengan lebih baik sekarang dan mula memahami cara permainan kami, walaupun dalam situasi sukar.
“Kami perlu terima semua kritikan ketika ini. Kami tewas di EPL, tapi kami masih berjuang dalam Liga Europa, jadi fokus kami sekarang adalah pada Jumaat, ia adalah perlawanan paling penting.”
Amorim membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama ketika bertemu Brentford di Gtech Community Stadium bagi memastikan tonggaknya kekal segar menjelang aksi menentang Bilbao.
© New Straits Times Press (M) Bhd




