Dr Rushdi enggan bercerai dengan Nora

Dr Rushdi enggan bercerai dengan Nora

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Suami kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin iaitu Dr Rushdi Ramli enggan meneruskan perceraian terhadap isterinya dalam prosiding yang berlangsung hari ini.

Peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali berkata, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan tarikh 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan kedua.

“Rushdi menolak permohonan cerai kali ini. Jadi, akan berlaku sebutan kali kedua pada 4 Jun untuk perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

“Bagaimanapun, pihak defendan tidak menyatakan alasan mengapa dia menolak perceraian.

“Jadi, kita akan ikut proses Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan sekiranya gagal, kita akan teruskan dengan proses hakam,” katanya.

Nora ketika ditemui berkata, dia juga bersedia untuk melalui proses selanjutnya bagi memperoleh perceraian.

“Sejujurnya, saya tidak tahu apa keputusan dia hari ini. Saya tidak bertanya langsung dan saya benar-benar tidak tahu. Saya baru dapat tahu sebentar tadi.

“Sebenarnya, saya lebih bersedia jika dia ingin meneruskan perceraian. Apabila dia berkata begitu, saya perlu memikirkan langkah seterusnya dan bersedia melalui proses yang selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Nora mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai ingin memfailkan perceraian terhadap suami selepas didakwa didesak pihak ketiga.

Dr Rushdi pula tampil bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan Nora.

Baru-baru ini, Nora sekali lagi meluahkan hasrat untuk memfailkan perceraian selepas gagal menemui titik penyelesaian.

Sebelum itu, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada hujung 2021.

Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat anak.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top