Landasan LTSAH dibuka semula 8 malam tadi

Landasan LTSAH dibuka semula 8 malam tadi

Alor Setar: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang ditutup sementara berikutan insiden membabitkan sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), petang tadi dibuka semula pada 8 malam.

Pengurus LTSAH Ikram Alif Mansoor berkata, landasan yang ditutup pada 5.30 petang itu dibuka semula selepas kerja-kerja pemindahan pesawat, pembersihan serta pemeriksaan terhadap landasan selesai dilaksanakan.

“Sebanyak empat penerbangan membabitkan ketibaan dan pelepasan yang tergendala akibat insiden itu telah disusun semula.

“Kita sedang menyusun jadual untuk semua penerbangan yang terbabit… ada juga penerbangan yang membabitkan jemaah haji, jadi kita akan cuba selesaikan malam ini juga,” katanya kepada Bernama di lapangan terbang berkenaan malam ini.

Terdahulu, Malaysia Airports dalam satu kenyataan memaklumkan landasan LTSAH ditutup sementara berikutan insiden membabitkan sebuah pesawat milik TUDM pada 5 petang tadi.

Penutupan landasan itu bagi membolehkan kerja pemindahan pesawat berkenaan dan pembersihan landasan dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top