Isteri Imran selamat lahirkan bayi perempuan sulung

Isteri Imran selamat lahirkan bayi perempuan sulung

Kuala Lumpur: Pelakon, Imran Aqil berkongsi khabar gembira apabila isterinya yang juga pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal selamat melahirkan cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan di sini pada jam 10.35 malam tadi.

Imran berkata, kelahiran puteri sulung yang diberi nama Yusra itu sepatutnya dilahirkan secara normal, namun doktor menasihatkan agar isterinya menjalani pembedahan.

“Disebabkan hampir 15 jam menunggu bukaan rahim selepas air ketuban pecah, doktor nasihatkan Dahlia menjalani pembedahan saja.

“Walaupun saya takut dengan darah tapi apabila doktor bertanyakan adakah saya mahu ikut menemani isteri bersalin, saya cuba beranikan diri.

“Jadi saya berpeluang melihat daripada permulaan bersalin secara pembedahan sehingga proses melahirkan anak. Setiap momen yang saya saksikan membuatkan saya cukup kagum dengan pengorbanan seorang ibu,” katanya.

Sementara itu, Dahlia pula memberitahu panggilan Yusra kepada dirinya adalah ‘mommy’.

“Alhamdulillah saya baik-baik saja. Yusra akan panggil saya dengan panggilan mommy,” katanya.

Dalam masa sama, Imran berkata cahaya mata pertama seberat 2.85 kilogram itu lahir pada bulan sama dengan ibunya.

Imran dan Dahlia mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top