Amsterdam: Andai Ajax Amsterdam mampu mengekalkan kedudukan teratas Eredivisie dan menamatkan musim sebagai juara, maka kapten mereka, Jordan Henderson wajar diberikan penghormatan terbesar atas peranannya mengembalikan semula status gergasi bola sepak Belanda itu.
Selepas dua musim yang penuh kekecewaan, Ajax kini mendahului empat mata di hadapan juara bertahan, PSV Eindhoven dengan hanya tiga perlawanan baki – dan kemenangan ke atas NEC Nijmegen Ahad ini serta FC Groningen minggu hadapan, sudah cukup untuk menobatkan mereka sebagai juara liga ke-29, rekod terbanyak dalam sejarah bola sepak Belanda.
Pemain veteran England berusia 34 tahun itu menjadi nadi utama pasukan musim ini, bukan sahaja memimpin pasukan di atas padang malah turut dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan England hasil prestasi konsisten yang ditampilkan.
“Dia pemain yang mampu memimpin hanya melalui teladan. Dia menggerakkan seluruh pasukan ke arah yang betul,” kata jurulatih Ajax, Francesco Farioli kepada SkySports sebelum ini.
“Dia menjadi penanda aras kepada semua pemain, terutama yang bergantung kepada etika kerja dan mentaliti.”
Henderson tiba di Amsterdam pada Februari tahun lalu ketika Ajax sedang berada dalam krisis, bahkan pernah menghuni tangga tercorot liga buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Namun, kemunculan awalnya tidak begitu meyakinkan kerana bergelut dengan kecederaan, selain menerima kritikan hebat akibat prestasi hambar.
Segala-galanya berubah apabila Farioli mengambil alih pasukan pada permulaan musim ini dan memberikan tugas baharu kepada Henderson sebagai pemain tengah bertahan – satu peranan yang lebih taktikal dan mencabar.
“Ia sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan, baik ketika memegang bola mahupun tanpa bola. Tapi saya gembira kerana walaupun pada usia saya sekarang, saya masih boleh belajar sesuatu yang baharu,” kata Henderson kepada media sebelum ini.
Pertukaran posisi itu nyata berhasil apabila Ajax kini memiliki rekod pertahanan terbaik liga dengan hanya 27 gol dibolosi dalam 31 perlawanan – satu pencapaian yang jauh lebih baik berbanding musim lalu yang menyaksikan mereka bolos 61 kali.
Pengalaman luas Henderson juga menjadi aset penting dalam perlawanan besar, termasuk menentang pencabar utama kejuaraan.
“Dalam perlawanan besar, Henderson sangat penting untuk Ajax,” kata bekas bintang Ajax dan penganalisis TV, Rafael van der Vaart.
Beberapa pemain muda turut berkongsi bagaimana komitmen tinggi Henderson dalam latihan dan proses pemulihan memberi inspirasi kepada mereka, selain membantu mewujudkan budaya kerja lebih profesional dalam kelab.
Pemilihan semula ke skuad England pada Mac lalu turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pengaruhnya di Ajax – sesuatu yang turut dihargai oleh pengurus baharu England, Thomas Tuchel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




