Dua beranak maut kemalangan: Pemandu lori positif dadah

Dua beranak maut kemalangan: Pemandu lori positif dadah

am@hmetro.com.my

Kulai: Seorang pemandu lori yang disahkan positif dadah selepas merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga mengakibatkan kematian dua beranak di Kilometer 34.1 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, malam tadi, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan sejurus kemalangan membabitkan empat kenderaan kira-kira 11 malam tadi.

“Pemandu lori itu kini ditahan 24 jam dan akan dibawa ke Mahkamah esok pagi untuk permohonan tahanan reman,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Dalam kejadian malam itu, penumpang Toyota Estima yang juga seorang ibu berusia 42 tahun dan anak perempuannya berusia 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas kemalangan berlaku.

Pemandu MPV itu yang juga suami mangsa berusia 42 tahun serta dua anak lelaki mereka berusia 18 tahun turut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila lori membawa muatan besi yang dipandu suspek hilang kawalan lalu melanggar sebuah Toyota Hilux di laluan sama sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar dua lagi kenderaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top