Pegawai penyiasat kes terowong dasar laut nafi abai aspek penting siasatan

Pegawai penyiasat kes terowong dasar laut nafi abai aspek penting siasatan

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai penyiasat kes rasuah projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menegaskan beliau tidak pernah mengabaikan aspek penting dalam siasatannya.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela yang mewakili Guan Eng, Haijan Omar pada sesi pemeriksaan balas.

Saksi pendakwaan ke-38 itu sedang diperiksa balas oleh Haijan yang menyoal balas mengenai kaitan di antara bekas pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan VST Cemerlang Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat berkenaan adalah pembida bagi pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ketika disoal balas, Zulhilmi bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa beliau tidak menjalankan siasatan mengenai kaitan di antara Zarul Ahmad dan VST Cemerlang, dan hanya mengetahuinya ketika dibangkitkan peguam.

Ketika ditanya adakah dalam siasatannya menunjukkan Zarul Ahmad dengan senyap-senyap meletakkan VST Cemerlang untuk membida bagi projek itu, Zulhilmi berkata, beliau tidak pasti.

Haijan: Adakah tuan tahu Datuk Zarul ada kaitan dengan VST Cemerlang?

Zulhilmi: Tidak tahu

Haijan: Adakah tuan tidak tahu bahawa Datuk Zarul ‘ada tangan’ dalam meletakkan VST Cemerlang yang ada kaitan dengannya untuk membida?

Zulhilmi: Saya tidak tahu

Haijan: Tuan tidak pernah siasat perkara ini. Tuan tidak tahu mengapa beliau meletakkan VST Cemerlang, atas dasar apa, apa signifikannya, apakah sebab-sebabnya?

Zulhilmi: Saya tidak setuju, saya siasat kes ini berdasarkan aduan.

Haijan: Itu adalah perkara penting yang perlu disiasat dalam siasatan?

Zulhilmi: Saya tidak setuju.

Haijan: Tuan telah abaikannya dalam siasatan.

Zulhilmi: Saya tidak setuju.

Dalam pernyataan saksinya, Zulhilmi berkata CZBUCG adalah syarikat yang terbaik daripada lima pembida yang dinilai bagi projek berkenaan.

Beliau berkata, CZBUCG telah memperolehi markah 93 peratus berbanding pembida terdekat iaitu VST Cemerlang yang memperoleh markah 77 peratus.

Katanya, oleh itu syarikat CZBUCG telah dipilih mendapatkan tender bag projek terbabit.

Dalam keterangan semalam, Zulhilmi berkata CZBUCG mempunyai maklumat yang memberi kelebihan kepadanya dari segi teknikal dan kewangan untuk mendapatkan projek pembinaan itu.

Menurut saksi itu, melalui siasatannya, terdapat perbincangan di antara syarikat terbabit dan kerajaan negeri tanpa membabitkan petender lain.

Zulhilmi berkata, keadaan itu memberi kelebihan kepada CZBUCG untuk memperoleh projek terbabit menerusi rundingan terus sebelum kaedah pelaksanaannya ditukar kepada tender terbuka.

Zulhilmi memberikan keterangan terhadap Guan Eng 65, yang didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Julai ini

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top