am@hmetro.com.my
Jelebu: Ikan kelah yang sinonim dengan panggilan ‘ikan kayangan’ berikutan harganya yang mahal kini boleh diternak secara komersil hasil usaha penyelidikan dan pembangunan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi di Jelebu, Negeri Sembilan.
Dikenali sebagai ‘raja sungai’, ikan kelah bukan sahaja mempunyai isi yang enak, tetapi juga mempunyai nilai pasaran yang tinggi mencecah antara RM400 hingga RM1,000 sekilogram.
Pegawai Penyelidik IPP Glami Lemi, Muhamad Zudaidy Jaapar berkata, permintaan tinggi terhadap spesies ikan ini mendorong pelbagai usaha untuk menjadikan pembiakan ikan kelah lebih sistematik dan mapan.
Katanya, IPP Glami Lemitampil sebagai peneraju dalam memperkenalkan teknologi pembiakan moden, termasuk penggunaan suntikan hormon perangsang pembiakan yang mampu merangsang induk ikan kelah mempunyai telur dan mengeluarkan telurnya secara terkawal.
“Melalui kaedah ini, lebih 15,000 anak ikan dapat dihasilkan setiap kitaran menjadikan ia satu pencapaian luar biasa berbanding kaedah pembiakan secara tradisional.
“Lebih menarik, kadar tumbesaran ikan kelah yang diternak menggunakan teknologi ini didapati 30 hingga 40 peratus lebih cepat berbanding spesies liar,” katanya.
Katanya, gabungan kawalan makanan, kualiti air dan persekitaran yang terkawal menjadikan penternakan ikan kelah kini lebih efisien dan menguntungkan.
Muhamad Zudaidy berkata, penyelidikan dan pembangunan berterusan membolehkan pihak komited menghasilkan benih ikan kelah bermutu tinggi.
“Kita berkongsi kepakaran dengan menyebar luas pemgetahuan dan memastikan pemindahan teknologi kepada masyarakat dengan menganjurkan kursus pembiakan ikan kelah kepada penternak dan usahawan baru dalam industri akuakultur.
“Kursus ini turut memberi peluang kepada peserta memahami keperluan biologi ikan kelah, pengendalian induk, penyediaan kolam serta amalan terbaik dalam meningkatkan kadar pembiakan,” katanya.
Katanya, pendekatan berasaskan sains ini diharap dapat melahirkan lebih ramai penternak yang mahir serta membantu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Muhamad Zudaidy berkata, usaha ini penting bagi memastikan teknologi pembiakan ikan kelah dapat diterima secara meluas oleh masyarakat dan memberi pulangan ekonomi yang mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
