RUTENG – Tragedi gempa bumi kuat yang menggegarkan Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT),Indonesia, meruntun hati apabila seorang ibu dan bayinya ditemukan maut dalam keadaan masih berpelukan di bawah runtuhan bangunan.
Kedua-dua mangsa ditemukan di Kabupaten Manggarai selepas sebuah bangunan runtuh akibat gegaran kuat berukuran 7.7 magnitud pada Sabtu.
Menurut laporan iNews, proses mengeluarkan jasad ibu dan bayi berkenaan berlangsung dalam suasana pilu dengan penduduk yang berada di lokasi dilaporkan tidak dapat menahan kesedihan.
Ketika ditemukan, wanita terbabit berada dalam keadaan terlentang dengan bayinya masih berada di atas dada.
Lebih menyayat hati, sebelah tangan mangsa dilihat masih memeluk erat bayi berkenaan ketika kedua-duanya ditemukan tertimbus.
Kedudukan mereka dipercayai menunjukkan wanita itu cuba melindungi anaknya ketika bangunan berkenaan runtuh akibat gegaran kuat.
Pasukan penyelamat bersama penduduk kemudian mengeluarkan kedua-dua jasad dari timbunan runtuhan.
Kisah ibu dan bayi itu menjadi antara tragedi paling menyayat hati susulan gempa kuat yang melanda Flores.
Gempa tersebut menyebabkan kerosakan besar di beberapa kawasan termasuk kediaman dan kemudahan awam serta memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Operasi mencari dan menyelamat turut digerakkan bagi mengesan mangsa lain yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.
Angka korban gempa itu kemudiannya meningkat kepada sekurang-kurangnya 48 orang dengan lebih 100 lagi dilaporkan cedera, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).
Kira-kira 5,000 penduduk juga terpaksa berpindah selepas gempa utama disusuli ratusan gegaran susulan. – Agensi