am@hmetro.com.my
Shah Alam: Penajaan penuntut peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan kerajaan negeri Selangor tidak lagi diteruskan melainkan bagi program peringkat sarjana dan doktor falsafah bermula tahun ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penajaan
bagi peringkat ijazah pertama hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.
“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko penuntut daripada terdedah kepada pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan pengajian Islam Selangor di Timur Tengah.
“Bagaimanapun, bagi penuntut persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih ke Timur Tengah dalam pengajian Islam adalah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi (Morocco) dengan diurus sepenuhnya oleh JAIS.
“Keterapan Ini bagi memastikan penuntut benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai bahasa Arab, memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lainnya dalam menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Timur Tengah,” katanya tadi.
Mohd Shahzihan menjelaskan, penajaan melanjutkan pengajian ke UIS di peringkat ijazah pertama dilaksanakan sebagai satu usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan agama JAIS yang wujud di peringkat rendah dan menengah sejak sekian lama.
“UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terbukti mampu melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu dan akhlak serta mampu memenuhi pasaran pekerjaan.
“MAIS dan kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang permohonan permohonan yang tamat ijazah pertama pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghrib dengan tajaan daripada LZS dan kerajaan negeri .
“Tawaran penajaan peringkat ijazah pertama pengajian Islam ke UIS atau universiti tempatan dan penajaan ke peringkat sarjana serta doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghribi (Morocco) akan dikeluarkan melalui iklan pada Jun depan.
“Sesi temuduga akan dilaksanakan untuk menentukan pelajar yang layak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
