Quartararo kecewakan Marquez lagi

Quartararo kecewakan Marquez lagi

Le Mans: Pelumba tuan rumah, Fabio Quartararo mencatatkan kejayaan berganda apabila merangkul petak utama buat kali kedua berturut-turut selepas memecahkan rekod sepusingan di Le Mans pada sesi kelayakan MotoGP Perancis, hari ini.

Bekas juara dunia berusia 26 tahun itu menyambar kedudukan teratas di penghujung sesi daripada Marc Marquez dengan catatan masa 1 minit 29.34 saat (s) bersama jentera Yamaha factory, sekali gus memastikan dirinya akan bermula di barisan hadapan dalam perlumbaan pecut dan perlumbaan utama, esok.

Alex Marquez, yang kini satu mata mengatasi abangnya di tangga teratas kedudukan keseluruhan selepas menang di Sepanyol bulan lalu, menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga.

Selepas kejutan menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Jerez baru-baru ini, Quartararo meneruskan kebangkitannya dengan pusingan terakhir yang luar biasa untuk menewaskan pelumba Ducati, Marc Marquez yang menyambar petak utama di empat perlumbaan pertama musim ini.

“Memang menakjubkan untuk berada di petak utama di Le Mans di hadapan semua peminat Perancis,” kata Quartararo.

“Sasaran asal hanyalah untuk berada di barisan hadapan, saya langsung tidak menjangka akan berada di petak utama dan mencatat masa sepantas ini. Saya tak pasti sama ada ini petak utama terbaik dalam karier saya, tapi dengan sokongan peminat yang begitu ramai, ia sangat istimewa.

“Sekarang kami akan cuba berada di hadapan dan lakukan perlumbaan yang baik,” katanya lagi.

Ini adalah petak utama ke-18 dalam karier Quartararo. Petak utama yang diraih dua minggu lalu di Grand Prix Sepanyol adalah yang pertama sejak tahun 2022.

Rekod baharu itu hadir hanya 24 jam selepas Marc Marquez memadamkan catatan terdahulu milik juara bertahan, Jorge Martin, yang masih belum kembali berlumba selepas terbabit dalam kemalangan serius di Qatar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top