am@hmetro.com.my
Seremban: Bau yang kurang menyenangkan daripada satu unit rumah pangsapuri di Ampangan di sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita, kira-kira jam 5.40 petang semalam.
Difahamkan, wanita berkenaan ialah seorang mualaf yang mempunyai beberapa sejarah penyakit dan tinggal bersendirian di unit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, wanita berusia 40 tahun itu dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh empat hingga lima hari lalu.
“Polis menerima laporan dan maklumat orang awam berhubung bau yang kurang menyenangkan dari sebuah unit kediaman di lokasi berkenaan sebelum bergegas ke lokasi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Seremban bagi menjalankan pemeriksaan.
“Rumah dibuka dengan bantuan bomba dan polis menemukan wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak lima hingga enam hari lalu. Tiada sebarang tanda pergelutan, unsur jenayah atau kesan pecah masuk ditemukan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yatim berkata, kematian wanita itu disahkan pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban atau balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




