LATEST

‘Anggota di lokasi perlu nilai situasi sebelum lepaskan tembakan’ – Ketua Polis Selangor

‘Anggota di lokasi perlu nilai situasi sebelum lepaskan tembakan’ – Ketua Polis Selangor

austin@nst.com.my

Baca juga: PRN Melaka: PH sasar 75 peratus keluar mengundi, rayu pengundi luar pulang

Shah Alam: Anggota polis perlu menilai situasi di lokasi kejadian terlebih dahulu sebelum bertindak melepaskan tembakan terutama di kawasan sempit yang dipenuhi ramai orang.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, walaupun polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sebagai garis panduan, keputusan muktamad terletak pada anggota terbabit secara langsung dalam sesuatu insiden.

“Perkara ini penting khususnya dalam situasi yang memerlukan anggota kita membuat keputusan segera dan tepat ketika berdepan ancaman serangan secara langsung,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Shazeli diminta mengulas insiden serangan terhadap Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Kepong, Rabu lalu.

Beliau berkata, lokasi kejadian di pangsapuri ketika itu agak sempit dengan kehadiran anggota daripada beberapa agensi lain.

“Premis berkenaan agak sempit dan terdapat anggota daripada beberapa agensi di lokasi.

“Keadaan ini menyukarkan tindakan tertentu yang sepatutnya wajar diambil dalam keadaan biasa,” katanya.

Beliau juga berkata, persekitaran yang terhad serta kehadiran individu lain adalah antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan anggota ketika menentukan tindakan balas terhadap sesuatu ancaman.

Katanya, SOP berfungsi sebagai panduan kepada pegawai dan anggota, namun tidak mampu merangkumi setiap kemungkinan situasi yang berlaku sepanjang operasi dijalankan.

“Kita mempunyai SOP sebagai panduan, tetapi keputusan akhir mengenai tindakan yang perlu diambil mesti dibuat oleh anggota di tempat kejadian.

“Mereka perlu menilai sama ada mampu melaksanakan sesuatu tindakan berdasarkan keadaan semasa serta latihan yang pernah diterima,” katanya.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, keputusan menggunakan senjata api bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk kehadiran orang awam atau anggota lain serta kesesuaian persekitaran untuk tindakan sedemikian.

Ditanya sama ada insiden itu menunjukkan keperluan untuk latihan tambahan, beliau menjelaskan bahawa anggota polis sememangnya menjalani kursus ulang kaji dan latihan dalam perkhidmatan secara berkala.

Katanya, latihan berkenaan dilaksanakan setiap tahun membabitkan semua unit dan bukannya diperkenalkan hanya selepas berlaku insiden serius.

“Kursus ulang kaji dan sesi latihan ini berjalan secara berterusan. Kita tidak menunggu insiden sebegini berlaku barulah latihan hendak dijalankan, malah pelbagai senario turut diterapkan bagi mempersiapkan anggota,” katanya.

Beliau memaklumkan siasatan berhubung kejadian di Kepong masih diteruskan, termasuk bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar serangan itu, manakala anggota yang cedera kini dilaporkan stabil dan sedang pulih selepas menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lelaki warga asing yang menetak tangan anggota polis terbabit maut selepas ditembak polis ketika cuba diberkas dalam kejadian itu.

Suspek ditembak polis selepas bertindak agresif menyerang polis menggunakan parang apabila dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara 7.30 hingga 8 malam.

Bagi mempertahankan diri dan menahan suspek, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan yang mencederakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut, namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news