Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan bahawa pendirian partinya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencerminkan sikap tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong atau institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut laporan Malaysia Gazette, sebaliknya beliau menjelaskan bahawa penentangan DAP terhadap Najib adalah berlandaskan prinsip memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi pegangan parti itu sejak sekian lama.
Baca juga: Indonesia bengang, persoal keadilan Malaysia anjur Sukan SEA 2027
Beliau berkata, DAP sentiasa menghormati kedudukan institusi diraja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selain berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.
“Saya nak tegaskan, ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong. Berkenaan dengan Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di Hang Tuah Jaya, Melaka malam tadi.
Mengulas lanjut, Loke turut menolak tuduhan bahawa DAP tidak menghormati Raja-Raja Melayu hanya kerana parti berkenaan mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal penerimaan gelaran kebesaran.
Bagi menjelaskan perkara itu, beliau merujuk kepada beberapa pemimpin DAP yang pernah menerima pengiktirafan daripada institusi diraja, termasuk veteran parti, Tan Sri Lim Kit Siang.
Foto arkib: Bernama
Lim menerima gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2023, sebelum dikurniakan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama oleh Pulau Pinang pada tahun berikutnya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim turut menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) pada 2023, manakala Datuk Teng Chang Khim menerima darjah kebesaran sama pada 2010.
Loke menjelaskan bahawa DAP tidak mengamalkan budaya mencalonkan pemimpinnya sendiri bagi mendapatkan gelaran kebesaran, sebaliknya menghormati keputusan dan pertimbangan Raja-Raja Melayu.
“Pendirian DAP ialah kita tak menamakan diri kita untuk apa-apa gelaran. Kita tak mencadangkan nama kita sendiri.
“Tetapi kalau Raja-Raja Melayu, Sultan-Sultan rasa orang itu ada sumbangan, macam Ng Suee Lim, Tuanku Sultan Selangor sendiri cakap nak bagi gelaran Datuk bagi dia, jadi itu sudah tentu diterima,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin UMNO bahawa terdapat tokoh dalam parti berkenaan yang juga tidak mengejar gelaran kebesaran sepanjang penglibatan mereka dalam politik.
Antara individu yang disebut ialah Allahyarham Tun Ghafar Baba yang hanya menerima gelaran Tun selepas bersara, selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang pernah menyatakan pendirian tidak mahu mengejar gelaran ketika masih aktif berpolitik.
Sementara itu, Anthony mengimbas kembali perjuangan menentang rasuah yang menjadi antara faktor kebangkitan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Beliau berkata, penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib ketika itu membawa perubahan besar dalam landskap politik negara, termasuk di Melaka apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dan Datuk Seri Adly Zahari dilantik sebagai Ketua Menteri.
“2018, tuan-tuan dan puan-puan, rakyat Malaysia termasuk rakyat di Melaka, kita bangkit, kita lawan Najib sebab dia rasuah.
“Sehingga Melaka pun UMNO Barisan Nasional jatuh. Sehingga Melaka, saudara Adly jadi Ketua Menteri masa ketika itu. Jangan lupa perjuangan kita. Ini semangat kita. Ini prinsip kita,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui perubahan politik yang dicapai pada 2018 tidak kekal lama susulan kejatuhan kerajaan selepas peristiwa Langkah Sheraton.
Negara kemudiannya berdepan pandemik COVID-19 sebelum pembentukan kerajaan baharu pada 2022, sekali gus menyaksikan perubahan semula landskap pentadbiran negara.
Sumber: Malaysia Gazette (Kasthuri Jeevendran)