Perkembangan terkini konflik India-Pakistan

Perkembangan terkini konflik India-Pakistan

– Advertisement –

TIADA siapa menyangka insiden keganasan di Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu yang mengakibatkan seramai 26 orang terbunuh dengan 20 orang lagi dilaporkan cedera akan mencetuskan peperangan antara India dan Pakistan.

India menuduh Pakistan melindungi kumpulan pengganas yang dituduh terlibat sama dalam insiden keganasan tersebut. Tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pakistan.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyatakan bahawa India akan memburu, menangkap dan menghukum pelaku insiden keganasan terbabit.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila India mula mengarahkan rakyat Pakistan keluar dari India, menggantung Perjanjian Air Indus (Indus Water Treaty), mengarahkan diplomat dan kakitangan misi kedutaan Pakistan di India agar keluar dari India dan mengancam untuk bertindakbalas terhadap Pakistan.

Pakistan melakukan tindak balas sama dan menyatakan tindakan India menggantung ‘Indus Water Treaty’ adalah ‘act of war’ yang mampu membawa kepada peperangan.

Pada 7 Mei lalu, tentera India melancarkan ‘Operation Sindoor’ dengan melancarkan 9 serangan ke atas wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan termasuk beberapa sasaran dalam wilayah Pakistan. Pakistan bertindakbalas termasuk menangkis serangan tersebut. Susulan daripada itu, keadaan menjadi tegang apabila tentera kedua-dua negara melancarkan serangan artileri dan dron termasuk serangan peluru berpandu daripada pesawat pejuang tentera udara kedua-dua negara.

CNN melaporkan bahawa pertempuran antara pesawat pejuang milik tentera udara India dan Pakstan yang berjumlah 125 buah selama sejam pada 7 Mei lalu dengan serangan peluru berpandu sejauh 160 kilometer adalah yang terbesar dan paling lama dalam sejarah penerbangan moden dunia sejak perang dunia kedua. Dilaporkan bahawa pesawat pejuang Pakistan J-10 (buatan China) telah berjaya menembak jatuh 5 buah pesawat pejuang India, 2 daripadanya adalah Dassault Rafale buatan Perancis.

Sehingga kini akibat daripada perang yang berlaku, dilaporkan lebih 31 orang terkorban dengan lebih 57 orang lagi dilaporkan cedera di Pakistan manakala lebih 16 orang terkorban dengan lebih 60 orang lagi cedera di India. Ketika ini kedua-dua negara mula memindahkan penduduk khususnya di wilayah Kashmir dan di kawasan ‘Line Of Contact’ di sempadan kedua-dua negara. India dan Pakistan masing-masing menyatakan akan bertindakbalas dengan aset-aset ketenteraan tambahan mula digerakkan oleh tentera kedua-dua buah negara yang jelas memperlihatkan keadaan akan menjadi semakin tegang.

Ketika ini dunia menggesa India dan Pakistan untuk meredakan keadaan dan menghentikan peperangan khususnya Rusia, China, Iran, Amerika Syarikat, PBB, GCC dan Kesatuan Eropah dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyatakan dunia tidak mampu lagi berhadapan dengan satu lagi perang. Emiriah Islam Aghanistan yang ditadbir Taliban turut menggesa agar konflik antara India dan Pakistan dihentikan dengan menyatakan bahawa ia bakal menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau khususnya di Asia Tengah.

Menariknya, negara haram Israel yang merupakan sekutu rapat India menyatakan sokongan penuh terhadap India dengan menyatakan India berhak untuk mempertahankan diri daripada serangan pengganas, satu frasa ayat yang biasa kita dengar. Ayat yang seperti mengapi-apikan India untuk terus berperang, bukan untuk meredakan keadaan. Mengejutkan, dalam masa sama Al-Qaeda mengeluarkan kenyataan agar umat Islam mengangkat senjata untuk memerangi India kerana menyerang Pakistan. Adakah ini semua kebetulan?

Tidak dinafikan konflik antara India dan Pakistan yang membabitkan Kashmir telah berlarutan hampir 78 tahun dan tidak nampak jalan penyelesaiannya. Satu penyelesaian yang konkrit dalam bentuk diplomasi perlu dilaksanakan oleh komuniti antarabangsa bagi mengelakkan peperangan berlaku di masa hadapan khususnya antara India dan Pakistan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan di rantau Asia Tengah.

Namun sebenarnya, Kashmir adalah satu lokasi yang cukup strategik di Asia Tengah yang mampu mencapai (membuka jalan) hingga ke Rusia, China, Iran mahupun ke Timur Tengah. Kedudukannya yang berada di kawasan yang tinggi (pergunungan) adalah amat strategik khususnya dari sudut ketenteraan termasuk ekonomi kerana di ketahui Kashmir mempunyai hasil bumi yang cukup lumayan yang belum sepenuhnya diterokai khusus lithium yang berada dalam kategori REE (Rare Earth Element).

Dunia diketahui berada dalam 3 jenis peperangan ketika ini, perang sebenar (pertikaian dan menguasai wilayah), perang ekonomi dan peperangan merebut hasil bumi yang berharga khususnya seperti rare earth element. Adakah apa yang berlaku di Kashmir ini perang yang sebenar atau ada agenda tersembunyi di sebalik perang yang berlaku?

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/5/2025

– Advertisement –

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

– Advertisement –

Scroll to Top