Wakaf itu amanah, bukan harta warisan

Wakaf itu amanah, bukan harta warisan

saufi@mediaprima.com.my

Tempoh sekitar 36 jam diambil oleh umat Islam seluruh negara untuk menebus semula tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu, Perak bernilai RM1.8 juta selepas tanah wakaf itu dijual oleh waris kepada pihak ketiga menggambarkan keprihatinan semua.

Ia berkait rapat kesedaran umat Islam terhadap tanah wakaf dan hukum menjual tanah yang sudah diwakafkan untuk kebajikan, pembinaan masjid, surau dan pusat pengajian agama.

Kafe Ahad minggu ini mendapatkan Mufti Pulau Pinang, PROF MADYA DATUK DR MOHD SUKKI OTHMAN yang berkongsi pandangan bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Apakah status hukum waris yang bertindak menjual tanah wakaf?

Dalam syariat Islam, tanah yang sudah diwakafkan menjadi milik Allah secara mutlak dan hukum asalnya adalah tidak boleh dijual, diwarisi, dihibahkan atau dipindah milik.

Sabda Nabi SAW: “Tidak harus (bagi pewakaf) untuk menjualnya, mewariskannya, dan menghibahkannya.” Ini adalah Hadis Riwayat al-Bukhari, nombor hadis 2586.

Justeru, perbuatan waris yang cuba menjual atau sudah menjual tanah yang sah diwakafkan adalah batil di sisi syarak dan tidak sah di sisi undang-undang jika terbukti status wakafnya.

Jual beli ini dikira sebagai transaksi yang fasid dan perlu dibatalkan.

Kebanyakan individu tidak mengetahui perkara ini dan lebih memilih kecenderungan pulangan kewangan hasil penjualan tanah berkenaan.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku?

Kes waris menjual tanah wakaf berlaku atas beberapa sebab, antaranya adalah kekeliruan masyarakat terhadap konsep wakaf yang kekal dan terputus hubungan pemilikan waris.

Ini yang ramai orang tidak tahu, mereka mengandaikan wakaf itu sifat sementara dan boleh menuntut hak mereka, hak terhadap tanah itu.

Tanah wakaf yang tidak didaftarkan secara rasmi, mengakibatkan waris menyangkakan ia harta pusaka yang boleh diwarisi dan boleh dijual kepada pihak ketiga.

Selain itu, keinginan mengejar keuntungan wang ringgit dalam kalangan segelintir waris yang kurang memahami hukum dan bersifat tamak.

Dalam banyak kes, ia berpunca daripada kelemahan pendidikan wakaf dalam masyarakat, terutama generasi muda yang tidak lagi memahami niat pewakaf terdahulu.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku? Apakah langkah pihak berkuasa agama dalam kes ini?

Apabila berlaku pertikaian antara waris dan pihak pengurusan wakaf, pihak berkuasa agama negeri seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertindak sebagai pemegang amanah tunggal wakaf, akan mengambil tindakan dengan membatalkan urusan jual beli jika ia bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang.

Pada masa sama, MAIN akan mengemukakan kes ke mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan sah status tanah wakaf.

Selepas itu, mengemaskini pendaftaran wakaf agar hak milik kekal atas nama wakaf, bukan individu.

Itu adalah antara tindakan pihak berkuasa agama yang menjalankan amanah untuk memelihara tanah wakaf sejajar dengan niat asal pewakaf berkenaan.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku? Apakah peranan sistem pendaftaran wakaf?

Sistem wakaf yang tidak dikemaskini atau tidak rasmi menyumbang kepada masalah pertikaian tanah wakaf.

Tanah yang diwakafkan tetapi masih berdaftar atas nama individu di geran tanah akan membuka ruang kepada waris untuk mendakwa hak milik.

Ini berpunca daripada pewakaf dahulu yang tidak membuat pendaftaran rasmi serta tiada penyerahan hak milik kepada majlis agama sebagai pemegang amanah.

Semua pertikaian ini boleh diselesaikan atau boleh dielakkan jika terdapat dokumentasi rasmi berhubung niat pewakaf berkenaan dan bukti itu juga boleh digunakan di mahkamah untuk penyelesaian perundangan.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku? Pada pandangan Datuk, apakah bentuk pendidikan dan advokasi masyarakat?

Untuk memastikan generasi pewaris memahami bahawa harta wakaf tidak boleh dijual atau diwarisi, langkah-langkah khusus perlu diperkukuhkan antaranya kempen kesedaran melalui masjid, media, dan institusi pendidikan.

Pada masa sama, modul pendidikan wakaf dimasukkan dalam kurikulum sekolah serta kursus khas kepada waris pewakaf tentang amanah harta wakaf.

Kita juga boleh pemerdayaan pengurusan wakaf agar lebih profesional dan telus, supaya masyarakat yakin dan menghormati institusi wakaf.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” Terjemahan daripada Surah al-Nisa’, ayat 58.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku? Dari segi pengurusan masjid, apa pula peranannya?

Pihak pengurusan masjid perlu memainkan peranan penting. Mereka wajib cakna tentang status dokumen tanah wakaf di bawah jagaan masjid dan memastikan tanah wakaf masjid didaftarkan secara rasmi di bawah nama majlis agama sebagai pemegang amanah.

Mereka juga perlu menyimpan rekod lengkap wasiat pewakaf, geran tanah dan surat kebenaran wakaf kerana ini dapat mengelakkan pertikaian masa depan dengan mengemaskini pendaftaran dan dokumentasi.

Bertindak segera sekiranya terdapat cubaan oleh waris atau individu untuk memindah milik tanah wakaf.

Mengapa kes penjualan tanah wakaf ini masih berlaku? Apakah kepentingan wakaf ini untuk umat Islam?

Tanah wakaf adalah harta umat Islam yang diamanahkan untuk manfaat bersama.

Ia tidak boleh menjadi alat untuk mencari keuntungan peribadi, waris perlu menghormati niat pewakaf terdahulu, dan institusi agama pula perlu tegas dalam mempertahankan maruah wakaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top