am@hmetro.com.my
Sepang: “Saya bangga menjadi rakyat Malaysia berbangsa India dan saya amat terharu dengan doa seluruh rakyat Malaysia sepanjang menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0),” kata peserta GSF 2.0 negara, Patmanathan Sivasamy.
Patmanathan atau lebih dikenali sebagai Kapten Siva berkata, penyertaannya dalam misi itu membuka perspektif lebih luas berkenaan realiti konflik serta penderitaan yang dialami penduduk Gaza, selain memperkukuh semangat kemanusiaan merentas kaum.
Menurutnya, sokongan dan doa rakyat Malaysia memberi kekuatan kepada semua delegasi yang berdepan pelbagai cabaran sepanjang misi berkenaan termasuk ketika dipintas sebelum tiba di bumi Palestin.
Pengalaman itu menguatkan lagi azam beliau dan keluarga untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin serta Gaza pada masa akan datang.
“Saya merayu supaya jangan kecualikan saya daripada mana-mana misi kemanusiaan selepas ini kerana saya akan terus bersama perjuangan Palestin,” katanya ketika berucap pada sambutan kepulangan delegasi Malaysia GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Ketua Delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.
Terdahulu, seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air jam 9.30 malam semalam.
Kapten Siva turut berkongsi kata-kata anak lelakinya yang berusia 10 tahun sebelum menyertai misi Itu. ‘Saya sangat bangga dengan papa dan teruskan ke Gaza. Kalau tak balik pun tak mengapa. Selepas 10 tahun, saya pula akan pergi dan sertai sukarelawan.’
Kongsi Kapten Siva lagi, kata-kata abangnya yang mahu beliau menjejakkan kaki ke bumi Palestin sebelum pulang ke Malaysia turut menjadi pembakar semangat sepanjang menyertai misi berkenaan.
Katanya, penderitaan yang dialami delegasi misi kemanusiaan itu masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan kesengsaraan sebenar rakyat Palestin yang terus berdepan peperangan dan penindasan.
Dalam pada itu beliau menyeru rakyat Malaysia supaya terus bersama perjuangan Palestin dan tidak berhenti menyuarakan sokongan terhadap rakyat Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




