am@hmetro.com.my
Georgetown: Empat lelaki warga tempatan ditahan, disyaki menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau sindiket along di sekitar Pulau Pinang dan Perak.
Kesemua suspek berusia antara 34 hingga 42 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dalam operasi semalam, membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dan Perak.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, mereka ditahan turut disyaki terbabit dalam beberapa kejadian jenayah khianat simbah cat di kawasan perumahan negeri ini, bagi pihak sindiket.
“Polis turut merampas beberapa barangan seperti kereta Toyota Vios, telefon bimbit, nota ugutan bayaran hutang, pita pelekat, nombor pendaftaran palsu pelekat, topeng muka, cat merah dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, dalam soal siasat awal, semua suspek mengaku terbabit dalam 33 kes simbah cat di Pulau Pinang, Perak dan Kedah, malah pemeriksaan telefon bimbit suspek menemukan 33 alamat dipercayai sasaran simbah cat.
Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




