Masalah besar jika berdepan rakan sepasukan – Haikal

Masalah besar jika berdepan rakan sepasukan – Haikal

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Haikal Nazri menyatakan dirinya tidak gemar bertemu rakan sepasukan dalam kejohanan yang disertai kerana setiap daripada mereka sudah boleh membaca permainan antara satu sama lain.

Justeru, dia tidak melihat itu sebagai satu kelebihan sebaliknya masalah yang lebih besar buat dirinya bersama gandingannya, Choong Hon Jian untuk tampil dengan permainan yang lebih bagus sekali gus menang perlawanan itu.

Katanya, persediaan mental juga perlu berada di tahap terbaik kerana bila berada dalam gelanggang, perlu melihat lawan itu sebagai musuh utama agar sifat memburu kemenangan lebih tinggi.

“Kalau tanya saya, saya memang tidak suka berdepan rakan sepasukan sendiri kerana masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan satu sama lain. Itu memberikan tekanan yang lebih berat kepada kita untuk tampil dengan permainan yang cemerlang.

“Sebab itu, daripada jumpa rakan sepasukan, kami lebih rela berdepan pasangan yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia daripada perlu jumpa rakan sendiri kerana itu memerlukan semangat juang yang sangat tinggi,” katanya.

Untuk makluman, Hon Jian-Haikal akan membuat perhitungan dengan pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun di pusingan pertama Terbuka Thailand esok. Kedua-dua gandingan negara itu hanya pernah bertemu sekali sahaja pada Masters Malaysia tahun lalu dan keputusan memihak kepada Wei Chong-Kai Wun.

Sementara itu, mengulas kekalahan awal di Terbuka Taiwan minggu lalu, Haikal berharap dapat tampil dengan lebih baik dan mengelak daripada kecederaan serius agar dapat menyertai Masters Malaysia pada 20 Mei ini.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Apa yang penting, saya mahu memastikan cabaran saya di Terbuka Thailand ini tanpa sebarang kecederaan,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan pinggul sejak Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top