FDI Malaysia melonjak kepada RM65.9 bilion pada 2025

FDI Malaysia melonjak kepada RM65.9 bilion pada 2025

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan aliran masuk bersih Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM65.9 bilion pada 2025, meningkat 41.2 peratus berbanding RM46.7 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan pesat sektor maklumat dan komunikasi (ICT) sejajar gelombang pendigitalan global.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu disokong oleh suntikan ekuiti pelabur asing serta aliran masuk instrumen hutang yang mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap ekonomi negara.

Menurutnya, kedudukan FDI terkumpul Malaysia meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025 berbanding RM1.01 trilion pada tahun sebelumnya, mewakili 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“FDI merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM65.9 bilion pada 2025, peningkatan sebanyak 41.2 peratus daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.

“Prestasi ini disokong oleh suntikan ekuiti daripada pelabur asing serta aliran masuk dalam instrumen hutang, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan sektor Perkhidmatan kekal sebagai penerima utama FDI dengan aliran masuk bersih RM59.5 bilion, diikuti sektor Perlombongan dan Pengkuarian sebanyak RM3 bilion serta sektor pembuatan RM2.6 bilion.

Dalam sektor perkhidmatan, subsektor Maklumat dan Komunikasi menyumbang 53.6 peratus daripada keseluruhan aliran masuk sektor itu, mencerminkan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur digital termasuk pusat data.

Selain itu, aktiviti kewangan turut mencatat aliran masuk ketara sebanyak RM26.1 bilion, didorong keyakinan pelabur terhadap landskap kewangan Malaysia.

Dari segi pendapatan, sektor pembuatan muncul penyumbang terbesar kepada pendapatan FDI dengan nilai RM55.5 bilion.

Mengikut rantau, Asia kekal menjadi sumber utama pelaburan asing ke Malaysia dengan aliran masuk RM73.2 bilion dan kedudukan pelaburan terkumpul RM679.2 bilion pada akhir 2025.

Singapura dan Hong Kong dikenal pasti sebagai sumber utama FDI dari rantau itu, manakala rantau Amerika mencatat pendapatan FDI tertinggi sebanyak RM45.6 bilion dengan Amerika Syarikat sebagai pelabur utama.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat Malaysia terus mengembangkan pelaburan di luar negara apabila Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) merekodkan aliran keluar bersih RM12.4 bilion pada 2025.

Bagaimanapun, jumlah itu lebih rendah berbanding RM35.5 bilion yang dicatatkan pada 2024.

Kedudukan DIA pula berjumlah RM589.3 bilion pada akhir 2025, bersamaan 29.1 peratus daripada KDNK.

Mohd Uzir berkata, aliran keluar DIA sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor Perkhidmatan bernilai RM15.6 bilion, khususnya dalam aktiviti kewangan dan subsektor pengangkutan.

Beliau berkata, Afrika muncul destinasi utama pelaburan Malaysia di luar negara dengan nilai RM7 bilion, terutama dalam industri minyak dan gas, manakala Asia mencatat pendapatan DIA tertinggi sebanyak RM22.8 bilion dan kekal sebagai rantau terbesar dari segi kedudukan pelaburan Malaysia di luar negara.

Selain itu, syarikat asing yang beroperasi di Malaysia merekodkan pendapatan RM98.2 bilion sepanjang tahun lalu, manakala syarikat Malaysia di luar negara mencatat pendapatan RM39.9 bilion.

“Secara purata, pulangan atas pelaburan (ROI) bagi syarikat FDI adalah sebanyak 9 sen bagi setiap RM1 yang dilaburkan, manakala syarikat Malaysia memperoleh 7 sen bagi setiap RM1 pelaburan yang dibuat di luar negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top