am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Dua jam masa diambil bagi mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon, Kampung Pondok Upeh di sini, semalam.
Lori muatan tar yang dipandu mangsa dikatakan terbabas sebelum terbalik ketika melalui selekoh di jalan berbukit berkenaan.
Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faiz Hilmi berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 10.45 malam.
Katanya, sebaik tiba didapati lori yang membawa muatan tar itu terbalik di bahu jalan.
“Pemandu lori didapati tersepit di ruangan kabin iaitu bahagian belakang tempat pemandu.
“Pasukan penyelamat melakukan kerja penstabilan kenderaan dan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Faiz berkata, berikutan kedudukan mangsa, pihaknya mengambil masa selama dua jam bagi mengeluarkan lelaki itu.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital.
“Mangsa, Shahrizal Ahmad, 44, dikatakan sedang bertugas membawa muatan tar dari Bukit Mertajam sebelum lori terbabit kemalangan ketika melalui selekoh.
“Kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi penyelamatan ditamatkan pada jam 1.35 pagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




